Anggoto polis cedera dipukul di stesen minyak

0
3

Seorang anggota polis cedera dipukul sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Sri Rampai, Kuala Lumpur kira-kira jam 10.20 pagi Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan Ahmad Osman berkata, mangsa berpangkat Konstabel sedang melakukan tugasan Ops Rentap Khas bagi menangani jenayah samun dan ragut di kawasan sekitar.

Katanya, mangsa berusia lingkungan 20-an, yang sedang bertugas singgah di stesen minyak itu setelah motosikal ditunggangnya kehabisan petrol.

“Tanpa disedari mangsa, ada sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di belakangnya sedang menunggu giliran untuk mengisi minyak di pam berkenaan.

“Keadaan itu mencetuskan rasa tidak puas hati pemandu MPV terbabit sehingga berlaku pertengkaran mulut dengan mangsa,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Berikutan pertengkaran itu, suspek bertindak menumbuk muka mangsa dan beberapa lagi rakannya juga cuba menyerang, tetapi dileraikan orang awam yang berada di tempat kejadian.

Susulan itu, mangsa yang mengalami kecederaan di kening kiri dibawa ke klinik berhampiran dan menerima lima jahitan.

Menurut Ahmad, sepasukan pegawai dan anggota dari IPD Wangsa Maju dengan dibantu Bahagian D4 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menahan 10 lelaki berusia lingkungan 22 hingga 44 tahun sekitar Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

“Semua suspek telah direman dua hari untuk siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” ujarnya.