Badminton: 5 pemain senior digugurkan

0
2

SUSULAN prestasi mengecewakan di tiga kejohanan di Thailand baru-baru ini, lima pemain senior digugurkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Mereka ialah perseorangan wanita utama negara Soniia Cheah, pasangan beregu campuran Goh Soon Huat/Shevon Lai dan Lai Pei Jing serta pemenang pingat emas beregu wanita di Sukan Komanwel, Vivian Hoo.

Menerusi kenyataan BAM hari ini, keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM.

BAM memutuskan untuk menggugurkan pemain terbabit selepas melakukan semakan berkala Project 24, iaitu pelan strategik bertujuan memupuk mentaliti mahu menang dan menghasilkan pemain terbaik dunia bagi membantu Malaysia memenangi pingat emas pada Olimpik Paris 2024 dan layak ke pusingan akhir Piala Thomas.

Pemain perseorangan lelaki Ter Chun Long dan Low Eu Cong, serta pasangan beregu lelaki Ching Kai Feng dan Ooi Jhy Dar turut digugurkan oleh badan sukan badminton kebangsaan itu.

Jawatankuasa turut memutuskan Wyman Goh, Lee Shun Yang, Shaqeem Eiman (perseorangan lelaki), K. Letshanaa (perseorangan wanita), Yap Roy King, Nurfirdaus Azman, Loo Bing Kun dan Lwi Sheng Hao (beregu lelaki) yang pada masa ini dalam tempoh percubaan, diserap ke skuad pelapis kebangsaan.

“Susulan bedah siasat ke atas kempen Jelajah Dunia BWF peringkat Asia di Bangkok, petunjuk prestasi utama (KPI) yang terperinci telah disediakan dan diserah kepada pasukan jurulatih serta pemain.

“Kami ucapkan terima kasih kepada pemain yang berkenaan atas komitmen, dedikasi serta sumbangan kepada negara selama ini. BAM ucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang akan mengorak langkah dalam kerjaya baharu.

“Tan Kian Meng (beregu campuran) dan Yap Cheng Wen (beregu wanita) diberi peluang baharu untuk membuktikan diri mereka dengan arahan tegas bahawa mereka perlu mempamerkan peningkatan prestasi yang pantas,” ujar kenyataan berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here