DATUK Seri Najib Razak kurang senang dengan persetujuan kerajaan menerima cadangan Indonesia untuk memberi kemudahan kebenaran masuk pelancong kedua-dua negara menerusi gelembung perjalanan dalam perjanjian Travel Corridor Arrangement (TCA).
Bekas Perdana Menteri itu berkata, kerajaan sewajarnya mempertimbangkan semula perkara itu kerana catatan harian jangkitan Covid-19 di kedua-dua negara masih tinggi meskipun ia boleh membantu merancakkan kembali sektor pelancongan.
Menerusi hantaran Facebook miliknya, Najib mempersoalkan TCA yang jelas tidak selari dengan larangan rakyat merentasi daerah dan negeri tetapi pada masa sama membenarkan pelancong asing memasuki negara dengan mudah menerusi ‘perjanjian istimewa’ itu.
“Siapa yang bersetuju Malaysia wujudkan gelembung perjalanan Malaysia-Indonesia pada ketika ini untuk rancakkan semula industri pelancongan?
Rakyat dilarang rentas daerah/negeri tetapi pelawat asing dibenar rentas sempadan negara untuk melancong ke sini ke,” catat Najib.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pekan itu bersetuju jika Malaysia membentuk TCA dengan negara-negara yang telah berjaya mengekang penularanCovid-19 bagi memulihkan sektor pelancongan negara yang terjejas teruk ketika ini.
“Saya setuju jika dibuat dengan negara-negara yang tiada atau kurang penularan tempatan seperti Singapura, Brunei, Vietnam, Cambodia, Laos, Taiwan, Australia, New Zealand dan China.
“Tapi masalahnya ialah negara-negara tersebut mungkin tidak bersetuju ketika kes Covid-19 Malaysia masih tinggi,” katanya.
Terdahulu, media Indonesia melaporkan kata sepakat telah berjaya termeterai dengan Malaysia berkaitan kemudahan perjalanan pelancong bagi kedua-dua negara tersebut menerusi TCA.
Perkara itu diumumkan Presiden Joko Widodo selepas menerima lawatan kerja Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

