Dah gian sangat nak berlumba, PKP pun mereka langgar

0
3

GIAN untuk berlumba haram, sekumpulan samseng jalanan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk berlumba dan melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Senai – Desaru (SDE), Johor malam tadi.

Tindakan kumpulan terbabit bagaimanapun membawa padah apabila diberkas polis dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M Kumarasan, berkata pihaknya menerima maklumat awam mengenai kegiatan kumpulan samseng jalanan itu sebelum sepasukan anggota JSPT ke lokasi kejadian.

“Pasukan JSPT Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membabitkan dua pegawai dan 11 anggota diketuai Pegawai Turus, Asisten Superintendan Mohd Zainudin Abu Bakar menahan tujuh lelaki dipercayai terbabit kegiatan lumba haram dan melakukan aksi berbahaya di lebuh raya berkenaan.

“Kesemua tangkapan berusia 17 hingga 23 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Seri Alam untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kumarasan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 108 akta sama.

“Semua yang ditahan turut dikenakan tindakan mengikut Perkara 16 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP.

“Hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapati seorang positif dadah dan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, tujuh motosikal pelbagai jenama turut disita dan lapan saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“SDE adalah lokasi panas bagi aktiviti samseng jalanan berdasarkan aduan yang diterima sebelum ini dan hasil operasi berterusan berjaya mengekang masalah sosial ini daripada berterusan.

“Kerjasama semua pihak terutama ibu bapa dalam aspek pemantauan dan penyeliaan anak sangat diperlukan.

“Pantau aktiviti anak-anak ketika tempoh PKP ini supaya tidak terjebak dengan masalah sosial seperti ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/06/pacuan-empat-roda-bawa-500kg-ketum-terbalik/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here