Pengurus hotel di Terengganu pula ‘sinsing lengan’ jual makanan di jalanan

0
2

PENGUSAHA hotel yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nyata tidak berputus asa meneruskan kelangsungan operasi serta kebajikan pekerja.

Sebelum ini, di Pulau Pinang seorang pengurus hotel sanggup turun ke jalanan bagi mempromisikan jualan makanan daripada hotelnya dan usaha itu kini dilakukan pula sebuah hotel di Terengganu.

Duyong Marina & Resort (DMR) mengambil inisiatif sama dengan mewujudkan gerai nasi bajet untuk menjana pendapatan sampingan demi kebajikan 156 pekerja dan kelangsungan operasinya.

Resort empat bintang milik kerajaan negeri di Pulau Duyong itu mula membuka operasi gerai tersebut berhampiran Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada Khamis lalu dengan nasi berlauk serendah RM3.

Antara lauk disediakan adalah ayam goreng berempah, ikan goreng, gulai lemak ikan masin bersama nanas, sayur goreng, sambal telur dan sambal tenggiri limau.

Pengurus Besar DMR, Wan Mohd Faizul Wan Abas, berkata ia adalah langkah drastik dan proaktif pihaknya dalam menjana pendapatan sampingan susulan tempahan bilik yang terjejas teruk akibat Covid-19 ketika ini.

“Dalam situasi terkini begitu banyak hotel dan resort terpaksa gulung tikar akibat tidak mampu bertahan mengharungi kegawatan ekonomi, kita tidak mahu perkara sama berlaku terhadap DMR sehingga ada risiko pekerja dibuang.

“Sebab itu, kita buka gerai nasi bajet ini untuk menyuntik motivasi dalam kalangan 156 pekerja bahawa pihak pengurusan tidak ‘lepas tangan atau berpeluk tubuh’ dalam menghadapi situasi ekonomi yang mencabar ini.

“Sebaliknya kita terus bersama-sama bekerja demi kelangsungan DMR,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Menurutnya, gerai nasi bajet itu memberi peluang kepada golongan B40 serta mereka yang terjejas ekonomi akibat Covid-19 untuk menikmati makanan lazat dan berkhasiat pada harga sangat murah.

“Selain itu, DMR mengalu-alukan mana-mana syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang berminat menyumbang nasi bajet ini kepada mana-mana pihak memerlukan termasuk petugas barisan depan sebagai menghargai jasa mereka,” katanya.

Menurutnya, nasi bajet mengandungi satu jenis lauk serta sambal dan jika pembeli ingin menambah lauk bayaran lain dikenakan.

Wan Mohd Faizul berkata, pihaknya turut merangka strategi dalam menjana pendapatan DMR ketika ini.

“Selain gerai ini, jualan makanan lain daripada DMR seperti ayam panggang marina tetap berjalan seperti biasa dengan kaedah bawa pulang.

“Malah, kami mengadakan jualan promosi harga pakej penginapan beli satu percuma satu yang akan berakhir 18 Februari ini untuk mempelbagaikan sumber kewangan DMR.

“Pendapatan daripada gerai nasi bajet ini tidak sampai 10 peratus pun untuk DMR,” katanya.

Beliau berkata, gerai nasi bajet itu tidak akan kekal, sebaliknya akan dihentikan apabila industri pelancongan mula pulih seperti sediakala. – Malaysiapost

Foto : Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here