Pembunuhan Altantuya, Najib akan saman Tommy Thomas

0
2

DATUK Seri Najib Razak akan memfailkan saman terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung kenyataan didakwa fitnah di dalam buku My Story: Justice in the Wilderness yang mengaitkannya dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Perkara itu disahkan peguam bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

“Ya, kami akan menyaman beliau bagi pihak anak guam kami. Semalam, Tommy telah memberi jawapan kepada surat tuntutan (LOD) kami… beliau menyangkal memfitnah anak guam kami.

“Penerbitnya, GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd belum menjawab LOD kami. Kami akan mengemukakan saman fitnah terhadap Thomas dan penerbit secepat mungkin,” kata Muhammad Shafee seperti dilapor Bernama.

Pada 2 Februari lalu, Najib melalui peguamnya Shafee & Co, menuntut permohonan maaf dan ganti rugi RM10 juta dari Tommy kerana mendakwa telah memfitnah beliau di dalam buku yang ditulis bekas peguam negara itu.

Dalam surat itu, Najib menuntut jawapan yang memuaskan daripada sebelum jam 12 tengah hari Jumaat dan menyatakan, bahawa sekiranya Tommy gagal melakukannya, prosiding undang-undang akan dimulakan awal minggu depan.

Beliau juga menuntut agar kenyataan itu ditarik balik dengan jelas daripada buku itu dan permohonan maaf sepenuhnya bagi fitnah di dalam bab 42 di bawah tajuk “Altantuya.”

Dokumen itu turut menyebut bahawa dengan inferens dan sindiran jelas, Tommy telah menghantar mesej bahawa beliau, sebagai AG (Peguam Negara) dan Pendakwa Raya ketika itu, berpuas hati dengan kebenaran dakwaan dua individu yang telah disabitkan bahawa Najib terbabit dalam mengarahkan mereka membunuh Altantuya.

Surat itu juga menyatakan kenyataan tersebut jelas bermotifkan mala fide (niat jahat) dan secara prinsipnya dilakukan demi kepentingan diri Tommy dalam mencari publisiti murahan yang didorong oleh egonya, sensationalisme dan keuntungan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here