Siasatan terhadap Anwar bermotifkan politik

0
2

SIASATAN polis terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong memohon supaya proklamasi darurat dihentikan, didakwa bermotifkan politik.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir berkata tindakan pihak berkuasa membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini dalam keadaan terdesak.

Menurutnya, kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menyatakan siasatan terhadap Anwar yang kononnya menghasut dan mengancam keselamatan serta ketenteraman negara adalah satu bentuk ugutan.

Beliau berpendapat ia juga tindakan bermotifkan politik apabila hanya Ketua Pembangkang itu seorang saja yang disiasat.

“Ini suatu tindakan terdesak Menteri Dalam Negeri dan kerajaan PN dengan menggunakan modus operandi yang tidak demokratik, memanipulasikan undang-undang dan eksploitasi penjawat awam demi kepentingan politik semata-mata.

“Menteri Dalam Negeri dilihat gopoh dengan mengeluarkan kenyataan politik yang jauh menyimpang daripada intipati sebenar warkah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Tindakan berbaur ugutan ini sama sekali tidak berasas dan membelakangkan hak Ahli Parlimen untuk menyampaikan warkah bagi mewakili serta menyampaikan hasrat rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Selasa lalu, Hamzah memaklumkan polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Anwar susulan 13 laporan dibuat di seluruh negara ke atas ketua pembangkang itu kerana didakwa menghasut dan mengancam keselamatan serta ketenteraman negara.

Sementara itu, Akmal mempertahankan tindakan Anwar kerana menurutnya ia mempunyai asas perlembagaan berdasarkan Perkara 150 (3) berhubung perisytiharan darurat.

“Tindakan Anwar dan ahli-ahli parlimen sudah pasti mempunyai asas perlembagaan yang kuat dengan merujuk Perkara 150 (3) berhubung perisytiharan darurat yang boleh ditarik balik oleh Yang di-Pertuan Agong atau dibatalkan oleh Parlimen.

“Dalam hal ini, kekhilafan kerajaan yang menggantung Parlimen telah menjadikan hanya Yang di-Pertuan Agong sebagai saluran yang boleh menamatkan darurat,” katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu segera menghentikan budaya ugutan itu serta menginsafi banyak tindakan yang telah merugikan rakyat.

“Malaysia perlu berperanan sebagai sebuah negara hukum yang meletakkan undang-undang serta Perlembagaan sebagai tetas keadilan dalam pentadbiran negara,” katanya. – Malaysiapost
.

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/03/pkr-kelantan-tanya-kdn-apa-salah-anwar/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here