GAGASAN kerajaan Melayu-Islam yang dibawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) didakwa sekadar retorik yang bertujuan memperdaya orang Melayu untuk meraih sokongan mereka, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Memetik wawancara bersama FMT, bekas Perdana Menteri itu berkata beliau tidak melihat sebarang faedah yang diterima orang Melayu susulan daripada penubuhan kerajaan PN pada Mac tahun lalu.
“Saya tak nampak apa-apa yang seperti itu. Kalau ada apa-apa pun, ia berita buruk mengenai kronisme, pemberian kontrak kepada orang tertentu.
“Jadi, ini sama sekali tidak membantu orang Melayu. Kita tidak nampak orang Melayu lain yang mendapat manfaat daripada kerajaan yang ada sekarang,” katanya.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata PN tidak boleh menubuhkan kerajaan Melayu-Islam tanpa sokongan Ahli Parlimen Cina dan India kerana tampuk kepimpinan negara amat rapuh.
“Jika tujuh atau lapan Ahli Parlimen Cina dan India yang ada sekarang meninggalkan kerajaan (PN), kerajaan akan tumbang.
“Jadi kerajaan yang disebut-sebut sebagai kerajaan Melayu-Islam ini sebenarnya bergantung kepada (sokongan wakil rakyat) Cina dan India,” katanya.
Dalam wawancara sama, Dr Mahathir berkata Bersatu, PAS, dan Umno hanya bersama demi kepentingan politik masing-masing.
Katanya, kerjasama ketiga-tiga parti itu ‘rapuh’ dan akan terurai pada pilihan raya umum akan datang.
“Keadaan ini tidak membawa kebaikan kepada negara kerana mereka tidak mempunyai pandangan sama yang betul mengenai cara membangun dan menguruskan negara.
“Mereka akan sukar mengagihkan kerusi. Jika tiada persetujuan, perbalahan akan berlaku sesama mereka dan ini tidak baik untuk mereka mahupun negara,” katanya.
Beliau juga mendakwa kerjasama PAS dan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN) juga tidak akan bertahan kerana kedua-dua parti tidak pernah rapat.
“PAS telah mengutuk Umno sebagai kafir. Jadi bagaimana mereka boleh bekerjasama apabila PAS berkata orang yang bekerjasama dengan kafir akan menjadi kafir,” katanya sambil menambah dua parti itu menjalin kerjasama hanya untuk kepentingan politik dan bukan berpandukan prinsip. – Malaysiapost

