AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas sebagai individu yang ‘syok sendiri’ dan ‘show off’.
Kenyataan Mohd Puad itu susulan pendedahan dilakukan Tommy dalam bukunya bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang diterbitkan baru-baru ini.
Justeru, Mohd Puad berkata, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan untuk menyiasat pendedahan Tommy itu.
“Suruhanjaya Diraja penting demi memelihara imej keadilan dan perundangan yang jelas tercemar berdasarkan pendedahan Tommy Thomas itu,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, beliau bersetuju bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad telah melakukan kesilapan memilih Tommy sebagai Peguam Negara.
“Giliran Peguam Negara pula belasah Tommy Thomas. Menurut Idris Harun buku memoir Tommy Thomas jelas menghina institusi perundangan negara.
“Menurut Idris lagi buku memoir itu dihasilkan oleh “pemikiran yang dangkal daripada pengalaman yang singkat oleh orang yang tidak memahami institusi perkhidmatan awam”. Dangkal mengikut kamus Dewan ialah cetek atau pengetahuan tidak mendalam.
“Sebiji Tommy Thomas kena. Memang Tun M salah pilih orang. Tommy syok sendiri dan show off. Kalau ikut memoir tersebut perlantikan “Hakim Hakim Atasan” telah mengenepikan peranan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (JAC),” katanya.
Mohd Puad berkata, Tommy mendedahkan Dr Mahathir bersetuju melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar di Malaya dan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak atas “recommendation” beliau.
“Pengakuan tersebut mendedahkan hakim-hakim kepada spekulasi bahawa mereka mungkin berat sebelah dalam segala kes yang melibatkan pendakwa raya.
“Hari ini lagi banyak laporan polis dibuat termasuk oleh bekas Peguam Negara TS Apandi Ali dan bekas Peguam Cara III, Mohamad Hanafiah Zakaria. Maka adalah wajar RCI ditubuhkan,” katanya.
Semalam, bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali membuat laporan polis terhadap Tommy yang didakwa memfitnah menerusi buku berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’.
Mohamed Apandi bersama peguamnya Datuk Baljit Singh tampil membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada pukul 2.15 petang.
Mohamed Apandi berkata, tujuannya membuat laporan polis adalah untuk memastikan semua pihak yang telah dianiaya, difitnah dan dihina dalam buku itu mendapat keadilan. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/04/buku-tommy-thomas-hina-institusi-perundangan-peguam-negara/

