Peniaga yang sudah lama beroperasi di Bandar Baru Sungai Buluh mendakwa aktiviti perniagaan mereka aman sehinggalah berlaku “campur tangan orang luar”, kata Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.
Bagaimanapun beliau itu tidak menjelaskan secara terperinci “campur tangan orang luar” yang dimaksudkanya itu.
“Peristiwa yang berlaku adalah kerana ada yang tidak faham apa sebenarnya isu.
“Saya berjumpa peniaga pada 8 Ogos berdialog dengan mereka, peniaga mengakui berniaga lebih 10 tahun dalam keadaan aman sehingga berlaku campur tangan orang luar,” katanya seperti dilapor Malaysia Gazzete.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri itu berkata, selama ini MBSA sentiasa membantu peniaga mahupun penjaja dalam memberikan kelulusan untuk beroperasi meskipun berhadapan dengan tugas yang mencabar sebagai PNT yang terbaik dalam menangani isu semasa.
“Selama ini kita (MBSA dan peniaga) saling membantu. MBSA dan MBPJ (Majlis Perbandaran Petaling Jaya) antara PBT yang terbaik dalam Selangor, sebab itulah perbezaan menjadi Bandaraya dengan Majlis Daerah dan Perbandaran ada tugas dan peraturannya supaya keharmonian pembangunan di kawasan tersebut (tertentu) dapat dijaga,” katanya.
Sebelum ini, Pengasas Hot Burger, Mohd Asri Hamid membuat pendedahan yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di kawasan berkenaan.
Susulan pendedahan itu, pihak PBT “mengamuk” apabila merobohkan semua premis haram di kawasan itu.

