Henti sistem MBRS: Urusan di kaunter tambah risiko jangkitan Covid-19

0
2

BERIKUTAN kegagalan sistem Malaysian Business Reporting System (MBRS) untuk diakses sejak 25 Disember lalu, urusan secara terus di kaunter Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dikatakan menambah lagi risiko pengguna kepada virus Covid-19.

Penutupan secara mengejut tanpa notis awal disifatkan tidak releven kerana sistem berkenaan telah menyimpan semua maklumat dan rekod pelayar secara dalam talian.

Tinjauan Malaysiapost di pejabat SSM baru-baru ini, mendapati semua urusan yang berkaitan dengan pendaftaran baharu syarikat perlu mengimbas terlebih dahulu QR Kod EZBIZ dan menyambung urusan di kiosk disediakan.

Bagi urusan berkaitan MBRS pula, pengguna perlu berurusan secara bersemuka dengan pegawai yang mengendalikan bahagian tersebut sepanjang tempoh masa penutupan sistem itu.

Bagi pengguna yang mempunyai urusan berkaitan audit, atau dari bahagian ‘Secretarial Company’, mereka terpaksa melangsaikan tugasan secara manual.

Situasi ini bukan sahaja membebankan pengguna, malah urusan menjadi lebih rumit kerana penyediaan dokumen semakin bertambah.

Pada masa sama, peningkatan risiko jangkitan Covid-19 lebih besar kerana urusan secara bersemuka akan berjalan dalam tempoh yang agak lama.

Kebimbangan penularan virus ini boleh dikurangkan sekiranya salah satu urusan SSM, iaitu sistem MBRS dapat dipulihkan dalam kadar segera.

Bahkan, pengguna sistem MBRS telah membayar untuk kemudahan mengakses sistem berkenaan.

Jika penutupan MBRS mengambil masa yang lama, ia tidak adil malah merugikan pihak pelayar sistem itu kerana tidak boleh menggunakannya.

Disember lalu, terdapat keluhan daripada beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan penutupan sistem MBRS.

Menurut jurucakap sebuah syarikat yang dihubungi, penutupan sistem itu telah mengganggu dari segi urusan syarikat dan pihak SSM itu sendiri.

Kata beliau, emel yang dihantar kepada pihak SSM pada 25 Disember lalu berhubung status penutupan operasi MBRS tidak mendapat maklum balas.

Sementara itu, SSM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan penutupan sementara MBRS sehingga 28 Februari 2021 bagi tujuan penyelenggaraan sistem.

SSM berkata, sebagai langkah alternatif, pelanggan boleh membuat serahan simpan dokumen Penyata Tahunan (PT), penyata Kewangan dan Laporan (PK), Exempt Private Company (EPC), Penyata Kewangan Tidak Beraudit dan permohonan pengecualian atau lanjutan masa bagi PT atau PK, Exemption Application (EA) melalui kaunter di pejabat SSM seluruh negara.

Bagi mengurangkan impak kepada syarikat yang terkesan akibat penutupan sistem MBRS, SSM memberi pengecualian yuran bagi lewat serah simpan dokumen berkanun di atas bermula 1 Januari sehingga 31 Januari 2021. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here