Polis terima 7 laporan terhadap Tommy Thomas

0
2

TUJUH laporan polis sudah diterima membabitkan dakwaan fitnah dibuat bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas melalui bukunya ‘My Story: Justice in The Wilderness’.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata polis masih menjalankan siasatan terhadap setiap dakwaan yang dikaitkan terhadap Tommy.

“Sehingga pagi tadi, polis sudah menerima tujuh laporan di seluruh negara. Kita akan mengambil kenyataan semua pihak yang terbabit seperti dilaporkan untuk proses rakaman percakapan bagi melengkapkan siasatan.

“Pada masa ini, kita serahkan kepada pegawai penyiasat menjalankan tugas. Beri mereka masa untuk memanggil semua mereka yang terbabit,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan lawatan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Sungai Besi, pagi tadi.

Menurutnya, kertas siasatan yang sudah dilengkapkan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk semakan, sebelum tindakan susulan dilakukan.

Terdahulu, bekas pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, membuat laporan polis di Cyberjaya, Rabu lalu mendakwa Tommy memfitnah dan memburukkan imejnya ketika beliau masih bertugas sebagai seorang pegawai kanan kerajaan.

Laporan polis turut dibuat oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, semalam, atas dakwaan yang sama.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan berhubung fitnah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here