SEKRETARIAT Gabungan Bas Malaysia akhirnya berjaya menyerahkan ‘keluhan’ mereka menerusi memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, pagi tadi.
Menurut Setiausahanya, R Thiagarajan, mereka sepatutnya menyerah memorandum itu pada 29 Januari lalu namun tertangguh kerana tidak mengikut protokol.
Bagaimanapun, katanya, mereka bersyukur akhirnya memorandum itu diserahkan pagi tadi di pintu 2 Istana Negara menerusi Setiausaha Sulit Yang di-Pertuan Agong.
“Kami akhirnya berjaya menyampaikan keluhan kami kepada Tuanku, selepas tak dapat nak serahkan minggu lepas kerana tidak mengikut protokol dan tiada surat kebenaran dari PDRM.
“So dengan izin Tuhan, borang permohonan (yang dibuat, dan mengikuti protokol), kami dapat tarikh hari ini dan berjaya sampai keluhan kami,” katanya kepada Malaysiapost.
Ketika ditanya, antara keluhan yang disampaikan kepada Agong, beliau berkata, ia adalah isu berkaitan syarikat pinjaman kredit yang menyebabkan hidup pengusaha-pengusaha bas tersepit.
“Keluhan yang paling utama yang kami harapkan untuk isu syarikat pinjaman kredit yang menyukarkan keadaan kami sekarang dan belum ada penyelesaian.
“Ini kerana kami sudah tidak mampu untuk membayar pinjaman kredit. Justeru kami menerima pelbagai tekanan daripada mereka (syarikat pinjaman kredit),” jelasnya.
Beliau yang juga pemilik syarikat Precious Star Transliner itu berkata, memorandum itu merupakan harapan dan suara pengusaha-pengusaha bas kepada Yang di-Pertuan Agong, dapat membantu meringan bebanan mereka.
“Kami berharap Tuanku memberi arahan kepada Kementerian-kementerian berkaitan atau Perdana Menteri sendiri untuk menyegerakan penyelesaian dalam isu pinjaman kredit ini,” luahnya.
Dalam memo tersebut, mereka turut meminta kerajaan mengambil alih semua pinjaman kredit dibawah syarikat berkenaan dipindahkan kepada Institusi perbankan negara seperti Bank Pembangunan, SME Bank, Bank rakyat dan pelbagai.
“(Bank-bank berkenaan) boleh memberikan kami menikmati kadar interest yang rendah dan automatik moratorium,” katanya.
Sementara itu, pengusaha bas ekspres, Muhamad Iqbal Habib meluahkan kebimbangan dengan keadaan kewangannya.
Katanya, fikirannya sering terganggu kerana wang simpanan yang ada sudah habis digunakan malah tidak mempunyai pendapatan langsung sejak setahun lalu.
“Sudah enam ke tujuh bulan bas saya tertunggak dan mungkin ditarik oleh syarikat pemberi kredit. Kami mempunyai 12 bas dan perlu melunaskan bayaran mencecah RM35,000 sebulan.
“Kini ada syarikat pemberi kredit yang sudah meminta bas dipulangkan tetapi jika kami turuti, siapa mahu menanggung kerugian yang lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Presidennya, Ahmad Ruslan Abdul Latif, berkata pihaknya merayu perhatian daripada Al-Sultan Abdullah dan kerajaan untuk membantu 14,382 pengusaha bas yang terkesan teruk akibat masalah ini.
“Kami amat berharap Agong masuk campur dalam kerumitan dan masalah yang kami hadapi.
“Kami sudah tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan kerana perniagaan kami semua terjejas teruk.
“Hutang kredit pembelian bas kami perlu dibayar tetapi rata-rata daripada kami langsung tidak mempunyai pendapatan kerana bas tidak boleh berjalan langsung,” katanya.
Justeru, beliau mengharapkan kerajaan mengambil alih hutang pembelian bas itu bagi memudahkan mereka membayar semula dan akan kembali beroperasi sekiranya keadaan Covid-19 itu berjaya diatasi sepenuhnya.
“Kami mahu meneruskan perniagaan dan menaikkan industri tetapi situasi hari ini jelas tidak akan berakhir dengan segera.
“Bas kami akan ditarik sekiranya gagal menjelaskan bayaran bulanan malah kadar faedah yang bertambah meskipun ada moratorium yang diberikan kerajaan,” katanya. -Malaysiapost

