‘Jadual PdPR macam sekolah harian tak munasabah’ – Maszlee Malik

0
1

DESAKAN bagi guru melaksanakan jadual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) seperti mengajar di sekolah adalah sesuatu yang sangat tidak munasabah.

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berpendapat ketika negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) jangan terlalu membenarkan guru.

“Beberapa hari yang lalu, KPM telah mengeluarkan Panduan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), yang telah menimbulkan sedikit kegelisahan di kalangan warga guru

“Saya berpandangan jangan jadikan para guru kita sebagai mangsa. Mendesak guru untuk melaksanakan jadual persis seperti mengajar di sekolah ketika menjalankan PdPR adalah sesuatu yang sangat tidak munasabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, terdapat maklumat mengatakan ada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang sudah mengeluarkan surat arahan memaksa guru untuk mengajar lima subjek sehari.

“Guru juga adalah manusia. Pertimbangan manusiawi dan budi bicara haruslah menjadi tonggak KPM ketika bereksperimen dengan norma baharu PdPR ini.

“Jika KPM benar-benar mahukan PdPR menjadi tunjang pembelajaran kerana tidak mahu membuka sekolah hatta di daerah hijau sekalipun, KPM haruslah menjadikan guru sebagai sumber inspirasi negara,” katanya.

Maszlee percaya ramai guru ketika ini sedang berhempas pulas melaksanakan PdPR mengikut kemampuan dan kapasiti masing-masing.

“Saya juga percaya ramai dari mereka juga punya anak, yang pada masa yang sama ketika mereka harus mengajar memerlukan perhatian seorang ayah dan ibu untuk menjalani PdPR.

“Oleh yang demikian saya dengan ini menyeru agar panduan terbaharu PdPR seperti yang telah disebarkan beberapa hari lalu segera diketepikan, mengambilkira kepentingan autonomi guru untuk melaksanakan PdPR mengikut kapasiti mereka dan kemampuan anak murid berdasarkan lokaliti dan keupayaan capaian internet dan peranti,” katanya.

Menurutnya, KPM juga harus memenuhi keperluan kesihatan mental dan emosi guru-guru kerana dengan cara itu, anak-anak akan dapat menjalani pendidikan terbaik walau hanya melalui PdPR.
-Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/05/chong-wei-taja-50-tablet-untuk-pdpr/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here