Bersatu akan sertai Muafakat Nasional dalam masa terdekat- Muhyiddin

0
3

Muhammad Afiq

Bersatu akan memuktamadkan penyertaannya dalam Muafakat Nasional dalam masa terdekat, kata Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata hasrat parti untuk menyertai Muafakat Nasional telah mendapat restu Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

“Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu juga telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendokong Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar atau ‘the grand coalition’. 

“Insya-Allah, penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Saya percaya inilah pilihan terbaik untuk Bersatu. Kita memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara kita,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan saya parti itu secara dalam talian hari ini.

Sebelum ini Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan mengenai hasrat Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional.

Muafakat Nasional dibentuk Umno dan PAS selepas BN tewas buat kali pertama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, dengan terbentuknya penyatuan antara Bersatu, Umno, PAS dan parti-parti lain dalam kerajaan PN, sebahagian besar sokongan rakyat telah pun berada bersama mereka.

Jelasnya, melalui penyatuan itu juga ia  akan mewujudkan kestabilan politik negara yang pastinya memberikan limpahan nikmat keamanan, keharmonian dan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Selain itu, hubungan kita dengan parti-parti rakan dalam Muafakat Nasional dan PN di peringkat akar umbi juga perlu dipupuk dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa. 

“Saya tahu proses ini mungkin mengambil sedikit masa. Tetapi saya yakin kita akan dapat mewujudkan hubungan kerjasama yang baik dan kukuh dengan parti-parti rakan.

“Di peringkat pusat, saya sering mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan parti Umno, PAS, MCA, MIC, GPS, PBS, STAR dan PBRS yang membentuk kerajaan PN,” katanya lagi.