DALAM menangani cabaran pandemik Covid-19 dan menjalani rutin norma baharu termasuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), lagenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei turut sama menghulur bantuan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, menaja 50 tablet bagi penggunaan murid yang memerlukan melalui program ‘Asal Cek Mau Pi Sekolah’ hasil inisiatif Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.
Steven Sim berkata, wira negara itu menghubunginya sebaik sahaja mengetahui mengenai program berkenaan.
“Wira kita datang menyelamat!
Semalam Chong Wei call saya setelah mendapat tahu tentang program Asal Cek Mau Pi Sekolah.
“Kami sempat berbual-bual tentang keluarga masing-masing, kesihatan dan sektor sukan negara. Sukacita saya memaklumkan Chong Wei sihat bersama keluarganya.
“Berita baik daripada wira kesayangan kita, Chong Wei akan taja 50 buah tablet Samsung Tab A8 untuk program Asal cek mau pi sekolah!,” katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, dia berterima kasih dengan sumbangan itu dan menganggap Chong Wei ternyata seorang wira sama ada di dalam dan di luar gelanggang.
Terdahulu dalam hantaran berlainan beberapa hari lalu, Steven Sim menzahirkan rasa sedih apabila senarai pemohon bantuan komputer riba kini sudah seramai 870 orang pemohon.
“Kita sudah ada duit untuk tambah 10 laptop lagi, esok juga saya akan buat pesanan – tapi jumlah laptop yang ada begitu kecil berbanding keperluan yang begitu mendesak.
“Campur 10 yang baru, kita ada 128 laptop dan 20 tablet,” katanya.
Menurutnya, ada juga pemohon yang marah kerana tidak dapat bantuan segera selain ada turut mendakwa pihaknya tidak berlaku adil dalam pemberian gajet untuk pembelajaran itu.
“Ada juga yang marah kata mengapa hanya bagi Melayu sahaja, atau bagi Cina sahaja, bagi India sahaja. Sebenarnya dalam senarai yang akan dapat laptop, semua kaum ada, cuma kadang kala, kita bagi yang paling terdesak dulu.
“Saya merayulah, jangan tengok kepada kaum. Ini semua anak-anak kita yang dalam susah,” katanya.
Steven Sim turut terharu dengan sokongan orang ramai yang banyak memberi sumbangan bagi menjayakan program itu
“Satu dua minggu ini, saya juga terima banyak sumbangan dan mesej daripada pegawai dan pesara kerajaan, polis, malah ada seorang penjawat awam yang berpangkat pengarah.
“Mereka minta saya rahsiakan identiti, tapi tuhan tahu siapa mereka dan jasa baik mereka.
“Terima kasih semua, hanya Tuhan sahaja yang mampu membalas jasa anda semua,” katanya. – Malaysiapost

