KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) membenarkan kenderaan berat beroperasi di atas jalan raya pada perayaan Tahun Baru Cina ini.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata langkah itu diambil susulan seluruh negara kecuali Sarawak berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari dan PKPB (Bersyarat) di Sarawak sehingga 14 Februari.
“Pada setiap tahun, MOT telah mengeluarkan perintah larangan kepada kenderaan barangan daripada beroperasi di atas jalan raya bagi beberapa hari yang ditetapkan di sepanjang tempoh perayaan Tahun Baru Cina.
“Larangan adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta mengelakkan berlakunya kesesakan jalan raya dengan mengurangkan percampuran kenderaan-kenderaan barangan di dalam aliran trafik.
“Namun begitu, memandangkan semua negeri kecuali Sarawak masih berada di bawah PKP sehingga 18 Februari 2021 dan PKPB di Sarawak adalah sehingga 14 Februari 2021, MOT tidak akan melaksanakan perintah larangan tersebut kepada kenderaan berat dalam tempoh perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sementara itu, beliau berkata susulan PKP sehingga 18 Februari juga MOT telah mengemaskini Surat Pengesahan Pengoperasian Perkhidmatan Perlu (Essential Services) untuk kegunaan pemain industri pengangkutan dan logistik sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.
Katanya, pengemaskinian ini dibuat dengan mengambilkira maklum balas serta input daripada para pemain industri pengangkutan dan logistik berkenaan isu di lapangan dan demi kepentingan rakyat.
“Semua pemain industri pengangkutan dan logistik yang telah berdaftar dipelawa memuat turun surat berkenaan melalui Sistem SMILE di pautan https://application.mot.gov.my.
“MOT ingin menegaskan bahawa pemain industri pengangkutan dan logistik bertanggungjawab sepenuhnya untuk mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan. Tindakan mengkompaun kesalahan selaras dengan Seksyen 25, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit [Akta 342] akan dikenakan jika gagal mematuhinya,” katanya. -Malaysiapost

