Kit Siang terkejut Tun M ‘petik’ namanya

0
2

PENASIHAT DAP, Lim Kit Siang menjelaskan bahawa isu pemilihan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dibuat oleh semua komponen dalam Pakatan Harapan (PH) setelah Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan drastik melepaskan jawatan berkenaan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, beliau terkejut apabila namanya dipetik dalam perenggan terakhir kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam berhubung perkara berkenaan.

Kit Siang menjelaskan, perkara itu hanyalah sangkaan Dr Mahathir sendiri.

“Untuk rekod, keputusan Pakatan Harapan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri — selepas peletakan jawatan secara mengejut oleh Mahathir — dibuat secara sebulat suara oleh semua parti komponen PH iaitu DAP, PKR, dan Amanah.

“PH mencapai keputusan ini selepas Mahathir enggan untuk terus menjadi Perdana Menteri PH dan enggan untuk mematuhi dan terikat dengan Manifesto Pilihan Raya Umum PH,” katanya.

Pemimpin Veteran DAP itu berkata, perlu ada seorang Perdana Menteri PH dan sebuah Kerajaan PH untuk mempertahankan dan menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum 2018.

“Amat malang sekali apabila Mahathir masih enggan untuk bertanggungjawab di atas kesilapan besar beliau apabila beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri sedangkan beliau masih mempunyai sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen, daripada Pakatan Harapan, Warisan, dan juga Bersatu,” ujarnya.

Kit Siang merujuk kenyataan Dr Mahathir mengatakan: “Saya fikir kita perlu perkara yang sama. Tetapi saya gagal kerana Kit Siang dakwa saya mahu jadi Diktator.

“Dia sokong Anwar sebagai calon PH. Jika 92 undi itu bersama saya, saya akan peroleh 154 undi. Bayangkan bagaimana halatuju Negara jika kesemua parti meletakkan Negara ini sebagai matlamat utama.” kata Dr Mahathir. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/03/saya-terkejut-baca-petikan-buku-tommy-thomas-tun-m/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here