Nilam Oshman
PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) menanggung kerugian sebanyak RM500 juta membabitkan projek operasi tren Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro Southern Line (MMMSL) di Arab Saudi.
Pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terhadap laporan kerugian bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.
“Sebagai operator penyelenggaraan dan servis dalam pelaksanaan projek MMML di antara stesen Arafat 1 dan stesen Jamarat di utara Mekah yang bermula 15 April 2015, Prasarana mengambil alih Projek ini dari China Railway Construction Konsortium namun akhirnya telah mengalami kerugian 417 million Riyal Saudi (RM500 juta) untuk tahun kewangan 31 Disember 2019.
“Pada tahun 2018, Prasarana menjalankan audit dalaman dan mendapati kita mengalami kerugian banyak, jadi pihak audit dalaman meneliti perkara itu bersama forensik untuk menyiasat semua aspek dari projek itu,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.
Mengulas lanjut, Tajuddin berkata, dalam mesyuarat Lembaga Pengarah yang berlangsung pagi ini, dengan nasihat
Jawatankuasa Risiko Audit, Prasarana perlu melaporkan perkara berkenaan kepada SPRM dan SSM bagi melakukan siasatan yang tepat melalui tindakan undang-undang.
“Keputusan itu diambil pada akhir audit dalaman setelah siasatan forensik dilakukan selama 18 bulan serta
tinjauan audit oleh PriceWaterhouseCoopers Advisory Services.
“Antara lain, siasatan mengkaji proses pemberian anugerah sebelum dan selepas tender MMMSL; pelaksanaan keseluruhan tanggungjawab kontrak Prasarana dan pelaksanaan penyelenggaraan;
membaiki dan membaikpulih masalah berkaitan alat ganti dalam projek dan kemudian penglibatan pegawai serta Ahli Lembaga Prasarana, Rapid Rail Sdn Bhd dan Prasarana Integrated Management and Engineering Services (PRIME), ” katanya.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan ianya satu siasatan yang mencabar kerana ada beberapa kekangan yang akan mengambil tempoh masa yang panjang untuk diselesaikan.
“Banyak pegawai penting yang terlibat dalam Projek MMMSL telah meninggalkan Prasarana, PRIME dan Rapid Rail.
“Kedua, jarak jauh (antara Malaysia dan Arab Saudi) bermaksud bahawa penyiasat memerlukan kerjasama dan bantuan dari
subkontraktor dan perunding terdahulu yang berpusat di luar negara.
“Selain itu, penyiasat juga perlu meneliti semula sejumlah besar dokumen, yang dipindahkan dari Arab Saudi ke Malaysia,” katanya.
Prasarana terbabit dalam pengendalian operasi MMMSL sejak 2015 membabitkan jajaran landasan sepanjang 18.1 kilometer menghubungkan Arafah ke Jamrah.
Operasi Tren itu secara rasmi bermula 9 September 2016.
Keseluruhannya, 15 tren dengan setiap satunya memiliki 12 gerabak yang bergerak atas landasan bertingkat, MMMSL adalah pengangkutan jemaah bagi melaksanakan ibadah itu.
Ia sekali gus membantu menangani kesesakan di tempat melontar jamrah. -Malaysiapost

