Kerajaan perlu laksana reformasi terhadap pelantikan Peguam Negara

0
2
Datuk Seri Mohamad Hasan

MALAYSIA mesti mempunyai kaedah yang lebih telus dan berwibawa dalam perlantikan seorang Peguam Negara, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kenyataan beliau itu merujuk kepada buku bekas Peguam Negara, Tommy Thomas berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang disifatkan memaparkan betapa ‘maha berkuasanya’ seorang Peguam Negara dan institusi tersebut.

Mohamad berkata, perincian segala peristiwa dinyatakan dalam buku tersebut memaparkan betapa meluasnya pengaruh Peguam Negara serta jabatannya dalam pentadbiran undang-undang negara.

Katanya, keadaan itu sekali gus mewajarkan kerajaan memikirkan semula dua reformasi penting berhubung hal itu.

“Pertama ialah perlantikan seorang Peguam Negara. Malaysia mesti mempunyai kaedah yang lebih telus dan berwibawa dalam perlantikan seorang Peguam Negara.

“Perlantikan Peguam Negara sebagai prerogatif mutlak seorang Perdana Menteri wajar dinilai semula. Lebih merisaukan bila pencalonan datang dari individu tertentu yang berkepentingan dan melalui perbualan dengan Perdana Menteri seperti yang di tulis oleh Tun Mahathir sendiri.

“Malaysia mesti mempunyai tatacara perlantikan yang menepati segala ciri ketelusan dan kompetensi bagi jawatan berkepentingan awam dengan kuasa yang luar biasa seperti Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Mohamad berkata, reformasi kedua, ialah pemisahan antara jawatan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.

Katanya, kuasa yang memusatkan segalanya kepada seorang individu mesti di hadkan.

“Mungkin wajar untuk Kerajaan mempertimbangkan pemisahan peranan tersebut dengan melantik Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi menjalankan fungsi yang berbeza.

“Walaupun saya realistik bahawa meminda perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat dan adalah sukar, namun persediaan kearah matlamat tersebut mesti dilakukan demi pelaksanaan dan pentadbiran undang-undang yang dihormati dan berwibawa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, buku Tommy itu mengundang pelbagai reaksi pemimpin dan masyarakat Malaysia.

“Saya tidak ingin mengulas tentang isu, peristiwa dan pengkisahan beliau. Itu memoir beliau dan pandangan beliau tidak semestinya benar, sahih dan berwibawa.

“Yang pasti beliau harus bertanggungjawab dengan apa yang beliau tuliskan,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/03/kenyataan-tommy-thomas-penghinaan-kepada-institusi-peguam-negara/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here