Etnik Bajau Laut tinggal dalam perahu, mabuk bila di darat

0
3

BARU-baru ini hangat diperkatakan mengenai kisah pengislaman ratusan penduduk etnik Bajau Laut yang tinggal di atas bot dan perkampungan atas air di perairan serta pulau-pulau di Semporna.

Mereka diislamkan oleh pendakwah bebas, Ebit Lew ketika beliau dalam misi menyampaikan bantuan di daerah pantai timur Sabah tersebut.

Kisah itu semakin hangat apabila Ebit semalam memaklumkan beliau dihalang meneruskan misi tersebut, malah terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat untuk kegunaan masyarakat setempat dan pulang ke Semenanjung.

Berbalik kepada masyarakat Bajau Laut, tahukah anda jika orang biasanya mabuk laut akibat dilambung ombak, mereka pula berasa loya jika terlalu lama di daratan.

Etnik Pala’u atau Bajau Laut, golongan ‘Gipsi Laut’ yang dikatakan dikesan sejak 300 tahun lalu, menjadikan perahu sebagai rumah dan hidup secara nomad di laut.

Sebahagian masyarakat Bajau Laut yang diislamkan Ebit Lew beberapa hari lalu. – Foto Facebook Ebit Lew

Etnik itu yang dikatakan hanya boleh ditemui di Sabah, masih mengamalkan budaya pelaut dipercayai berasal dari kepulauan Riau, Johor khususnya Pulau Lingga sebelum berhijrah ke kepulauan selatan Filipina dan Borneo Utara sejak 100 tahun lalu selepas kejatuhan empayar Melaka.

Etnik tersebut dianggap kerana cara hidup mereka yang terasing dan turut digelar ‘Orang Laut’ kerana menjadikan laut Sulu dan Sulawesi sebagai sahabat sejati dan dunia mereka sejak sekian lama yang dikatakan sukar berpisah dengan perahu serta badai.

Kaum Bajau Laut yang menetap di perairan sekitar Semporna, Kunak, Lahad Datu, Sandakan, Tawau dan Kudat dikatakan tidak tenang hidup tanpa perahu yang dibuai ombak.

Berdasarkan cerita lisan, etnik itu mengikut pantang larang nenek moyang mereka untuk menetap di darat dan siapa melanggarnya, tidak hidup aman selama tujuh keturunan.

Ada juga menyatakan, sepanjang masa mereka mengejar pergerakan angin sehingga berkebolehan menadah pusaran puting beliung untuk mendapatkan air minuman ketika di laut.

Bekas wartawan Berita Harian, Poliana Ronnie Sidom pernah menyelami kehidupan masyarakat itu yang membawanya bertemu Sarimah Asrian, seorang daripada ratusan masyarakat Pala’u yang hidup berpaksikan tradisi menjadikan perahu sebagai kediaman.

Dalam temubual dengan bantuan jurubahasa beberapa tahun lalu itu, Sarimah mendakwa datang ke Sandakan dari Kudat bersama 20 yang lain termasuk ibu, bapa, adik, nenek, datuk dan beberapa lagi untuk menjual ikan kering.

Daripada paras rupanya, usia Sarimah mungkin menginjak 16 atau 17 tahun, tetapi apabila ditanya, remaja rambut kerinting disikat kemas itu tersipu malu sambil menggelengkan kepala mengakui tidak tahu usia sebenarnya.

Malah apabila penghuni lain dalam perahu atau dikenali ‘tempel’ dalam bahasa Bajau itu diaju soalan mengenai hari, tarikh dan tahun semasa, semua memberi balasan sama.

Hakikatnya, dunia mereka yang hanya bertemankan laut sepanjang masa dan tidak pernah kekal tinggal di sesebuah pulau, menjadikan Pala’u hidup seperti di ‘syurga’ tanpa menghiraukan kehidupan sekeliling, jauh sekali menghitung waktu.

Kaum Bajau Laut menetap di sekitar perairan Semporna, Kunak, Lahad Datu, Sandakan, Tawau dan Kudat

Bagi mereka, kehidupan hanya diabdikan kepada laut hingga ada antara adat mereka yang memerlukan bayi baru lahir dicampak ke laut sebelum diselamatkan bapa dengan alasan memberi kekuatan kepada bayi itu bahawa laut adalah kehidupan mereka.

Sarimah yang kurang lancar bercakap Bahasa Melayu berkata, paling lama mereka berada di satu tempat adalah lima hari sebelum beredar ke pulau lain untuk mencari ikan dan meneruskan hidup.

Dia mengakui sejak kecil tidak pernah mencuba tinggal di daratan kerana takut pening meskipun ada sanak-saudara di Kudat mempunyai rumah.

“Tidak biasa kalau tiada ombak, nanti pening. Kami naik darat cuma sekejap untuk belanja (beli barang). Kemanakan (sepupu) ada kerja di darat… mahu ikut tapi bapa tidak bagi,” kata anak gadis itu yang ditemui di jeti pasar awam Sandakan.

Tinjauan ke perahu keluarga Sarimah pula mendapati, bahagian depan menempatkan ruang untuk berkumpul, di tengah adalah tempat tidur, manakala di belakang tempat memasak dengan ketinggian cuma pada paras dada dan memerlukan penghuni berjalan secara membongkok.

Perahu yang menjadi tempat tinggal kaum Bajau Laut

Tiada apa yang istimewa pada perahu itu jika dibandingkan kehidupan di rumah, tetapi bagi keluarga Sarimah, perahu berukuran tujuh atau lapan meter panjang itu adalah istana mereka kerana di situ tempat menjalankan aktiviti seharian termasuk memasak, menyidai pakaian, makan, tidur dan menyambung zuriat.

Usaha untuk melihat perahu mereka disambut beberapa wanita Pala’u lingkungan pertengahan usia dengan senyuman sambil berkata: “minta duit”.

Ironinya, biarpun agak pemalu bertemu orang lebih-lebih lagi apabila gelagat dirakam lensa kamera, sebahagian mereka tanpa mengira umur menjadi peminta sedekah dan di sesetengah tempat, tanpa segan silu mengetuk pintu kenderaan demi meminta wang. – Malaysiapost

.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here