SEORANG wartawan sebuah portal berita berputih mata selepas sejumlah besar wang dalam akaun Maybank miliknya lesap diperdaya sindiket penipuan dalam talian atau scammer.
Menerusi satu hantaran di Facebook, wartawan Malaysia Gazette, Azizul Osman telah berkongsi pengalaman pahit itu untuk dijadikan sebagai iktibar.
Menurut Azizul, ketika sibuk membuat kerja di laptopnya pada Sabtu lalu, dia tergerak untuk memeriksa baki di akaun Maybank kerana kebetulan hari itu adalah hari gaji.
Kebiasaannya, Azizul menjelaskan, dia sering menggunakan aplikasi Maybank yang dimuat turun di telefon pintarnya, namun ketika kejadian entah mengapa dia terdetik untuk menaip kata kunci ‘Maybank’ pada enjin carian Google menggunakan laptop miliknya.
Tanpa menyedari ia laman palsu, dia telah membuka satu pautan yang mempunyai paparan serupa dengan platform perbankan tersebut.
Azizul kemudian mendaftar masuk menggunakan kata kunci asal sebelum menerima SMS bersama kod TAC yang kononnya perlu diisi pada laman berkenaan.
“Aku klik kat perkataan Maybank (tanpa sedar itu bukan laman web asli), serius aku tak sedar itu fake. Layout dia sama. Semua sama.
“Aku login, letak password. Selepas itu aku terima SMS, dengan nombor TAC. Di laptop, dia (scammer) kata letak nombor. So aku letak TAC tu. Tak tahu macam mana aku ikut saja,” tulisnya.
Azizul yang tersedar kemudian memeriksa baki akaun melalui aplikasi Maybank2u di telefon pintarnya dan mendapati berlaku pindahan wang dalam jumlah besar ke platform e-dagang, Lazada.
“Lepas tu, aku terkejut sendiri. Yang aku bagi tadi tu TAC no kan. Terperanjat (macam kena pukul), aku pun pantas (tak tahu kenapa pantas dan kenapa tak pakai aplikasi di telefon bimbit saja masa tu).
“Check balance. Adoi. Ada transaksi besar yang dipindahkan ke Lazada. Tak sempat nak snap, akaun kat aplikasi telefon bimbit dah tak boleh pakai.
“Adoi. Serius tak tahu apa jadi kat aku masa tu. Aku call Maybank cakap ada transaksi duit ke Lazada. Mereka nasihat sekat Maybank2u dan kad bank,” catatnya.
Pada masa sama, Azizul berkata pihak Maybank memberi kerjasama baik untuk membantunya menyelesaikan perkara ini.
“Then Maybank advise aku buat laporan polis. Aku ikutkan sebab tak tahu nak buat apa. Polis tanya macam mana, aku jelaskan satu persatu.
“Selepas itu terima panggilan dari Maybank, mereka cakap perkara ini sudah disiasat dan sudah di pengetahuan Lazada,” katanya lagi.
Menurut Azizul, harapan untuk mendapatkan kembali wang yang hilang tipis kerana insiden itu telah melibatkan pihak ketiga.
“Hari ni (semalam) pegawai Maybank call, cakap duit tu tak boleh nak dapatkan balik sebab scammer dah guna untuk topup online gaming. Dia kata kalau ada baki akan cuba dapatkan,” kata Azizul.
Meskipun sedih dengan nasib menimpanya, Azizul menasihati warganet supaya sentiasa berhati-hati ketika menggunakan aplikasi perbankan dalam talian.
Azizul turut menyertakan pautan laman web scam itu dan memberi amaran kepada warganet untuk tidak mengklik pautan tersebut iaitu (https://campaignmay2u.com/home/m2u/common/login.do)
“Aku pun tak tau macam mana boleh pergi website ni. Sedangkan aku taip Maybank kot.
“Kalau korang kata takkan tak perasan website dia lain. The things is layout dia sama sebiji.
“Mana tahu Allah nak beri ujian, mungkin aku ada buat silap dan mungkin ada benda yang aku buat ada tak betul. Jadi Allah nak beri pengajaran. Hati hatilah ya. Pastikan ori baru login,” katanya. – Malaysiapost

