Saifuddin sindir kerajaan PN, Pergolakan di Myanmar sama seperti di Malaysia

0
1

SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyifatkan situasi di Myanmar ketika ini sama seperti yang berlaku di Malaysia.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu itu menggambarkan, pengumuman darurat dan penggantungan Parlimen yang berlaku di Myanmar ketika ini, juga berlaku di Malaysia sejak tiga minggu lalu.

“Darurat dan demokrasi. Sebuah kerajaan yang tiga minggu lepas umum darurat dan gantung Parlimen, semalam keluarkan kenyataan menzahirkan ‘serious concern’ ke atas sebuah kerajaan yang dua hari lepas umum darurat dan gantung parlimen,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Kenyataannya itu seolah-olah menyindir kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 11 Januari lalu, Muhyiddin mengumumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan darurat sehingga 1 Ogos ini bagi menangani wabak Covid-19.

Muhyiddin dalam pengumumannya menjelaskan proklamasi darurat itu bukan suatu bentuk rampasan kuasa tentera atau penguatkuasaan perintah berkurung.

Beliau berkata, dari segi pentadbiran kerajaan, jemaah menteri dan majlis mesyuarat kerajaan negeri akan terus berfungsi mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh darurat itu Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil tidak akan diadakan selain Parlimen dan DUN juga tidak akan bersidang.

Pengerusi Parti Liga Demokrasi Kebangsaan Myanmar (NLD), Aung San Suu Kyi semalam menggesa rakyat negara itu menolak rampasan kuasa oleh pihak tentera dan membantah tindakan tersebut.

Pihak tentera lewat malam tadi mengumumkan 24 menteri dan timbalan menteri di bawah kepemimpinan Suu Kyi sudah dilucutkan jawatan, lapor Agensi.

Mereka kemudian menamakan 11 pengganti untuk menyandang jawatan bagi portfolio kewangan, kesihatan, penerangan, ehwal luar negara, pertahanan dan ehwal dalam negeri. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/01/malaysia-pantau-situasi-di-myanmar/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here