Saya tiada kedudukan dalam kerajaan, tapi akan bersuara – Zahid

0
2

Nurul Huda Abhar

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun beliau kini tiada sebarang kedudukan dalam kerajaan, namun akan terus bersuara untuk rakyat.

Ahmad Zahid juga memohon maaf kepada rakyat jika perkara yang dibangkitkannya tidak mendapat perhatian kerajaan.

“Saya adalah Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang tidak memegang tampuk pentadbiran negara.

“Apa yang boleh saya lakukan dalam kapisiti yang terhad ini adalah akan bersuara dan terus bersuara demi kepentingan kita semua.

“Jika perkara dibangkitkan itu tidak dilayan pihak berwajib, saya cuma mampu memohon maaf kepada saudara saudari,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurut beliau, walaupun beberapa Ahli Parlimen dari BN dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri, ia bukan bersifat partisan kerana ada kuasa lebih mendahului mereka.

Katanya, berikutan sidang Parlimen tidak dibenarkan sepanjang tempoh darurat maka beliau tidak boleh menyuarakan apa-apa pandangan kepada kerajaan.

“Jika anda melihat saya sebagai orang yang boleh bersuara, ya saya ada melakukannya seperti dalam pembentangan Bajet dan banyak lagi sebelum ini.

“Saya ingat, saya juga boleh bersuara melalui Parlimen tetapi apakan daya, persidangan tidak dibenarkan sekarang,” ujarnya lagi.

Kenyataan Ahmad Zahid tersebut dibuat bagi membalas komen-komen yang dihantar pengikut Facebooknya terutama berkaitan bebanan dan kesukaran hidup semasa situasi pandemik kini.

Semalam, beliau berkongsi tangkap layar artikel Malaysiapost yang melaporkan lebih 1,000 pemandu bas ekspres dalam Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM) kecewa kerana tidak disenaraikan sebagai penerima pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

Pengagihan bantuan tersebut didakwa tidak menyeluruh sedangkan pemandu bas ekspres antara golongan paling terkesan akibat penularan Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here