Masih ramai liat bayar bil pembentungan

0
3

MASYARAKAT Malaysia perlu sedar bahawa sistem paip kumbahan sememangnya adalah perantara kepada pelbagai jenis organisme mikro dan mungkin mempunyai potensi sebagai perantara kepada virus.
Sistem paip sisa kumbahan yang usang dan tidak diselenggara dengan baik terutamanya di kediaman jenis strata boleh menyebabkan pelbagai jenis organisme mikro tersebar dalam persekitaran jika berlaku kebocoran. 
Presiden Persatuan Wira Air, Mohammad Firdaus Abdullah, berkata laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai penularan wabak  Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) di dalam blok perumahan di Hong Kong pada tahun 2003 mengenal pasti kecacatan pada sistem paip sisa kumbahan sebagai punca kepada penyebaran virus di dalam bangunan tersebut. 
“Selain itu, risiko penularan organisme mikro termasuk virus akan meningkat apabila tahap kebersihan tidak diberikan perhatian sepatutnya manakala keadaan sanitasi tidak sempurna. 
“Kemungkinan masih ramai yang memandang mudah betapa pentingnya pengurusan sisa kumbahan ini sedangkan hakikatnya di beberapa negara lain sisa ini terpaksa diuruskan dengan baik ekoran ia akan menjadi sumber bekalan air terawat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 
Menurutnya, ini terbukti apabila masih ada segelintir pengguna liat membayar bil pembetungan mereka setiap tahun hingga ada yang tertunggak selama beberapa tahun.
Katanya, keadaan itu menyukarkan pihak yang bertanggungjawab seperti Indah Water Konsortium (IWK) menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.
“Hakikatnya tangki septik perlu dikosongkan sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun sekali dan jika gagal dilakukan secara berjadual, ia akan menyebabkan sisa kumbahan mengalir ke dalam sistem pengairan kita dan mengakibatkan kehidupan air di dalam sungai dan laut terjejas.
“Ia akan membahayakan kesihatan orang ramai kerana kumbahan mentah mengandungi bacteria Campylobacter, Crytosporidium Parvum yang boleh menyebabkan penyakit berjangkit bawaan air seperti taun, demam kepialu dan hepatitis A,” katanya.
Menurutnya, selain itu segelintir masyarakat Malaysia juga masih skeptikal tentang tahap keselamatan penggunaan air kumbahan terawat, sedangkan sebenarnya persepsi negatif terhadap penggunaan semula air sisa terawat itu harus berubah.
“Mengitar semula air kumbahan untuk dijadikan air minuman telah lama diamalkan di beberapa negara lain. 
“Singapura misalnya telah memulakan projek pulih guna air sisa kumbahan pada awal tahun 2000 dan kini mempunyai lima Loji Pulih Guna air sisa kumbahan yang menggunakan teknologi membran untuk menghasilkan air yang diguna pulih berkualiti tinggi. 
“Membanggakan apabila bekalan air terawat itu cukup untuk memenuhi 40 peratus permintaan air di negara berkenaan sekarang,” katanya. 
Menurutnya, di Amerika Syarikat (AS) pula, projek Pure Water bernilai 3 billion dolar (RM12.16 bilion) telah dijalankan di San Diego, California dengan sasaran untuk mengitar semula 30 juta gelen air kumbahan setiap hari dalam empat tahun dan tambahan 53 juta gelen menjelang 2035. 
“Proses kitar semula air sisa menjadi semakin penting bukan hanya untuk mengurangkan pencemaran yang dibuang ke sumber air, tetapi juga bagi mengurangkan kesan akibat gangguan bekalan air yang tidak berjadual dan kenaikan tarif air. 
“Pada masa ini, tarif air dan pembetungan di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia, namun kita tidak boleh mengharapkan bahawa tarif tidak akan dinaikkan selama-lamanya,” katanya. 
Mohammad Firdaus berkata, bagi syarikat yang mempunyai kemudahan kitar semula air sisa di premis, mereka tidak akan terkesan jika tarif air di naikkan di masa hadapan. 
“Manfaat penjimatan kos hasil daripada penggunaan semula air sisa lebih memberi impak yang besar kepada industri-industri kerana tarif air industri jauh lebih tinggi daripada tarif domestik,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here