Kerajaan perlu bantu pemandu bas ekspres

0
2

KERAJAAN diminta supaya lebih prihatin terhadap pelbagai pihak yang terkesan akibat pandemik Covid-19 termasuk pengusaha dan pemandu bas ekspres.  
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata nasib golongan berkenaan perlu dijaga dan dibela segera.  
“Media melaporkan lebih 1,000 pemandu bas ekspres dalam Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM) berasa kecewa kerana tidak disenaraikan sebagai penerima pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).  
“Pengagihan bantuan tersebut didakwa tidak menyeluruh sedangkan pemandu bas ekspres antara golongan paling terkesan akibat penularan Covid-19. 
“Ada pemandu bas ekspres yang mendakwa langsung tidak menerima gaji menyebabkan sebahagian mereka terpaksa bekerja sebagai buruh untuk menyara hidup,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam ini.  
Ahmad Zahid turut berkongsi tangkap layar bergambar dimuat naik di Facebook Malaysiapost berhubung nasib menimpa mereka yang bekerja dalam industri bas. 
Beliau bersimpati dengan nasib pemandu-pemandu bas itu dan berharap mereka tabah mengharungi kesukaran ini. 
“Bukan pemandu bas sahaja yang sedang menghadapi masalah seperti ini. Ramai pekerja sektor lain senasib dengan saudara.  
“Kita rayu kerajaan lebih prihatin terhadap nasib mereka ini. Mereka juga rakyat yang perlu dijaga dan dibela oleh kerajaan secepat mungkin,” katanya.  
Menurutnya, pengumuman Bantuan Kewangan ‘One-Off’ RM500 kepada pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing juga belum diterima golongan berkenaan sejak 18 Januari lalu. 
Media hari ini melaporkan lebih 1,000 pemandu bas ekspres yang berdaftar dengan PPBSM merayu bantuan khas kerajaan akibat kehilangan sumber pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu. 
Presiden PPBSM, Saadan Man dilaporkan kecewa selepas pemandu bas tercicir dalam senarai penerima bantu Permai yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here