Covid-19: Selangor terus catat kes baharu tertinggi

0
2

SELANGOR masih menjadi negeri paling tinggi mencatatkan kes baharu Covid-19 iaitu 1,362 kes dengan 967 kes dari kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

Ia diikuti Johor sebanyak 1,068 kes (25.3 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 702 kes (16.7 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes baru harian hari ini iaitu 4,214 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 115 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara.

Menurutnya, 10 kes kematian hari ini adalah melibatkan tiga kes di Negeri Sembilan dan masing-masing satu kes di Johor, Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak, Selangor, Perak, Melaka, dan Terengganu.

“Jumlah kluster keseluruhan adalah 831 kluster membabitkan pertambahan 14 kluster baru.

“Kluster yang telah tamat ialah 430 kluster termasuk lima kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Tembok, Kluster GK Tawau, Kluster Sentosa Residensi, Kluster Menara Wang, dan Kluster Maringkan),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jumlah kluster yang aktif setakat ini adalah 401 kluster dengan 73 kluster mempunyai pertambahan kes baru pada hari ini.

“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baru tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tapak Bina Jalan Puchong (322 kes), Kluster Tapak Bina Jalan Chulan (85 kes), dan Kluster Tembok Taiping (81 kes).

“Kesemua 14 kluster baru yang telah dikenal pasti pada hari ini pula adalah melibatkan sembilan kluster berkaitan tempat kerja, tiga kluster kumpulan berisiko tinggi, dan dua kluster komuniti,” katanya.
-Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/01/kes-baharu-covid-19-menurun-kepada-4214/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here