Lelaki miliki kebenaran rentas negeri cuba seludup 4.5 tan ketum

0
1

SEORANG lelaki menyalahgunakan kebenaran merentas negeri dengan cuba menyeludup 4.5 tan daun ketum, namun tindakannya itu gagal apabila ditahan dalam sekatan jalan raya di Baling, Kedah awal pagi hari ini.

Suspek lelaki tempatan berusia 39 tahun itu ditahan ketika pemeriksaan sekatan jalan raya di Simpang Tiga Jerai, Kupang, kira-kira jam 1 pagi tadi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata lelaki terbabit memandu sendirian dan dipercayai dalam perjalanan untuk menghantar daun ketum berkenaan ke Kelantan selepas mendapatkan bekalan di Sik, Kedah.

“Hasil pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan itu, polis menemukan 450 bungkusan plastik mengandungi daun ketum yang dianggarkan bernilai RM45,000.

“Siasatan mendapati lori berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan suspek mengakui menerima upah sebanyak RM800 daripada pihak lain bagi setiap perjalanan untuk menghantar daun ketum dari Kedah ke Kelantan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling hari ini yang turut disiarkan secara langsung di Facebook Polis Kedah.

Hasanuddin berkata, suspek yang sebelum ini pernah dikenakan hukuman denda sebanyak RM5,000 bagi kesalahan sama pada Disember lalu, mempunyai kebenaran rentas negeri bagi urusan perniagaan, namun menyalahgunakannya untuk tujuan penyeludupan ketum.

Katanya, suspek direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 selain Peraturan 4, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) .

Sementara itu, Hasanuddin berkata pihaknya turut menahan dua individu warga Thailand yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Binjul pada 6.45 petang semalam.

Katanya, suspek masing-masing adalah lelaki berusia 34 tahun dan wanita 30 tahun yang menaiki kereta jenis Honda Accord bertindak membuat pusingan U selepas menyedari sekatan jalan raya berkenaan, namun berjaya ditahan anggota Unit Kereta Peronda yang mengejar mereka.

“Hasil pemeriksaan polis telah menemukan tiga peket lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 11.17 gram dan beberapa peket lutsinar mengandungi 40 biji pil ‘WY’ (pil kuda) yang dicampakkan suspek sewaktu melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah 1952. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here