Covid-19: Warga media juga terkesan, mohon kerajaan bantu

0
2

KESATUAN Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) menggesa kerajaan agar memberi perhatian kepada cabaran getir yang dihadapi oleh petugas media Malaysia yang kini berdepan cabaran bertugas dalam pandemik Covid-19.

Perhatian sama juga perlu diberikan terhadap bekas kakitangan industri media yang berdepan nasib lebih malang apabila diberhentikan sejak tahun 2019 lagi.

Presiden NUJM, Farah Marshita Abdul Patah berkata, dianggarkan lebih 3,000 kakitangan dalam industri media telah diberhentikan secara berperingkat sejak 2019 disebabkan oleh faktor kelembapan industri dan kesan pendemik Covid-19 yang berterusan.

“Lebih sukar, ada juga bekas kakitangan media yang diberhentikan tanpa sebarang pampasan disebabkan penutupan operasi secara mengejut dan sebahagian besar daripada mereka berdepan dengan situasi mencabar dalam mencari pekerjaan baharu disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Bagi bekas pekerja yang menerima pampasan daripada majikan, kebanyakan daripada mereka telah menceburi pelbagai bidang perniagaan untuk meneruskan kelangsung hidup, namun pendemik yang berlarutan sejak 2019 telah memberi kesan besar kepada perniagaan mereka yang baru bertatih di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, industri media dilihat akan terus suram untuk beberapa tahun mendatang dan perkembangan ini bukan sahaja memadam hasrat bekas kakitangan media ini untuk kembali berkhidmat di dalam industri ini, malah, turut mematikan semangat warga media yang masih bertugas dalam industri.

Katanya, dalam membuat liputan sepanjang penularan Covid-19, petugas media juga seolah diketepikan, sama ada dari segi kebajikan mahupun keselamatan.

Farah Marshita berkata, tiada peruntukan khas bagi membeli peralatan keselamatan, pemeriksaan kesihatan mahupun elaun perubatan diberikan kepada petugas media dalam membuat liputan seharian terutama di tempat berisiko.

Menurutnya, NUJM berharap agar kerajaan dapat merangka program khas yang dapat membantu dan meringankan beban yang dihadapi petugas media dan bekas kakitangan industri ini dengan segera berikutan pengumuman Proklamasi Darurat sehingga Ogos tahun ini dilihat akan terus memberi tekanan kepada pemulihan industri ini.

Selain itu, NUJM turut mencadangkan program-program yang berkonsepkan ‘upskilling’ dan ‘resklilling’, pembangunan usahawan digital, latihan pengurusan perniagaan & kewangan dan pelbagai program-program lain yang boleh memberi nilai tambah kepada mereka untuk terus bersaing dalam pasaran kerja serta perniagaan yang diceburi.

“NUJM turut mencadangkan penubuhan tabung bencana bagi membantu petugas media yang ditimpa kemalangan ketika bertugas selain membolehkan bantuan kecemasan dihulurkan dengan kadar segera.

“Dalam situasi semasa yang cukup mencabar ini, bantuan dan sokongan daripada kerajaan amat dihargai serta dialu-alukan untuk membantu bukan sahaja ahli NUJM tetapi tetapi industri media secara menyeluruh,” katanya.

Menurutnya, NUJM bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan pihak kementerian bagi merealisasikan harapan untuk memastikan kebajikan petugas media terjaga. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here