‘Masyarakat pasti ingat jika kita buat perkara baik’

0
2

“ONE good deed a day” adalah salah satu nilai murni yang diterapkan dalam kalangan anggota polis daerah Petaling Jaya bagi memberi khidmat terbaik untuk masyarakat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, bagi masyarakat nilai keikhlasan yang ditunjukkan anggota polis semasa menjalankan tugas adalah lebih bermakna buat mereka

“Masyarakat mudah lupa jika kita memaparkan kisah kejayaan menangani jenayah, namun mereka pasti akan ingat sampai bila-bila jika kita selalu buat perkara yang baik,” katanya dalam satu program wawancara baru-baru ini.

Baru-baru ini, tular kisah Nik Ezanee, 43, membantu seorang ibu kepada tiga anak yang dipercayai mencuri barang seperti pelekat ‘KoolFever’ dan makanan di sebuah pasar raya.

Tindakan beliau berjaya mencuri perhatian umum, dan mereka sangat tersentuh dengan kebaikan yang ditunjukkan Nik Ezanee atas sikapnya yang mengambil berat terhadap kesusahan yang ditanggung wanita itu.

“Saya mengambil keputusan mengklasifikasikan kes itu sebagai ‘Tiada Tindakan Susulan’ (NFA), sebaik mendengar perincian berhubung kes berkenaan daripada pegawai penyiasat.

“Saya turut berkerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyampaikan bantuan berupa keperluan harian kepada keluarga itu,” katanya.

Malah, pihaknya membayar semula barangan yang disyaki dicuri itu sebelum mendermakannya kepada wanita berkenaan.

Nik Ezanee berkata, mencuri itu sememangnya adalah satu jenayah tetapi kalau ingin menghukum satu keluarga yang miskin dan kelaparan itu juga adalah satu perkara yang tidak betul.

“Saya lihat terdapat dua perbezaan pendapat di sini, pertamanya pendapat orang yang suka dengan tindakan saya membantu wanita terbabit dan keluarganya yang berada dalam situasi kesusahan.

“Pendapat kedua pula ada yang mendakwa cara saya ini seolah-olah menggalakkan orang yang dalam situasi sama dengan wanita itu mencuri, namun bukan itu niat saya,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau minta maaf kepada semua pihak jika perbuatannya itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

“Tujuan saya berjumpa wanita berkenaan baru-baru ini adalah untuk menasihatinya supaya tidak mengulangi pelakuan jenayah yang dilakukan.

“Kita ada JKM, Lembaga Zakat Selangor (LZS), masjid dan rumah ibadat lain sekiranya kita hadapi masalah.

“Akhir sekali saya beritahu kepada wanita itu, kalau susah sangat nak dapatkan bantuan, datanglah ke balai saya, InsyaALLAH kita cuba bantu,” katanya.

Kisah Nik Ezanee dan wanita berkenaan turut memberikan impak positif apabila masyarakat mula sedar tentang fungsi sebenar JKM dan LZS sekali gus menjauhkan diri mereka daripada mempunyai niat untuk mencuri disebabkan faktor lapar dan susah.

“Ketua Pegawai Eksekutif LZS ada datang jumpa dengan saya, beliau menerangkan pelbagai bantuan yang disediakan kepada mereka yang benar-benar mengalami kesusahan namun tidak disedari orang ramai.

“Mungkin selama ini, segelintir masyarakat hanya lihat kehadiran LZS di sesebuah lokasi hanya untuk mengutip bayaran zakat namun sebenarnya itu tidak betul,” katanya.

Pada masa sama, pihaknya akan bekerjasama dengan LZS untuk mengenal pasti golongan asnaf yang berada dalam kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

“Saya merancang untuk memberi ruang kepada LZS untuk mengadakan aktiviti pengagihan sumbangan bantuan makanan, barang keperluan serta kewangan selama dua hari di pekarangan IPD Petaling Jaya.

“Saya mengenali banyak persatuan penduduk di Petaling Jaya ini dan telah minta mereka mengesan individu atau keluarga yang berada dalam keadaan susah serta miskin di sekitar kawasan kediaman mereka,” katanya.

Katanya, perkara itu boleh menjadi contoh dan panduan, serta menjadi satu tambah nilai daripada perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada masyarakat selain menguatkuasakan undang-undang dan menjaga ketenteraman awam. – Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/21/ketua-polis-pj-bantu-suri-rumah-curi-ubat-untuk-anak-sakit/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here