Nilam Oshman
SEORANG peguam mencadangkan kerajaan mengenakan kompaun sehingga RM10,000 atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), khususnya yang disengajakan seperti operasi pusat hiburan.
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz menjelaskan jumlah maksimum RM10,000 itu juga bagi memberi kuasa kepada mahkamah untuk membuat penilaian sama ada kesalahan itu serius atau tidak, selain berdasarkan bentuk kesalahan serta kemampuan pihak yang melakukan kesalahan.
“Jadi, kalau pemilik kelab malam ini kena kompaun RM1,000 seperti sekarang, celah gigi saja nak bayar,” katanya kepada Malaysiapost.
Mohd Khairul Azam turut mencadangkan jumlah kompaun yang diberikan memberi budi bicara kuasa kepada mahkamah dengan jumlah maksimum sehingga RM10,000.
Baru-baru ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata kompaun lebih tinggi dan hukuman lebih berat sedang digubal melalui Ordinan Darurat bagi dikenakan terhadap individu atau syarikat yang melanggar SOP PKP.
Katanya, ia susulan masih ramai lagi yang ingkar dan melanggar SOP berkenaan.
Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berpendapat sudah tiba masanya nilai kompaun kerana ingkar dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP dinaikkan susulan peningkatan ketara kes Covid-19 di negara ini.
Abdul Hamid berkata setiap minggu ribuan saman dikeluarkan pihaknya kepada individu yang ingkar dan melanggar SOP PKP, yang kebanyakannya melibatkan kesalahan tiada penjarakan fizikal.
Menurutnya lebih memburukkan lagi keadaan apabila ada yang mengambil kesempatan dengan melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri tanpa alasan yang kukuh.
“Sekiranya kompaun RM1,000 itu dianggap kecil maka mereka yang degil ini pasti akan menerima padah apabila arahan menaikkan nilai kompaun ini diwartakan. Sudah tiba masanya untuk nilai kompaun itu dinaikkan,” katanya. – Malaysiapost

