Nurul Huda Abhar
PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bimbang sekiranya kerajaan terlalu bergantung kepada penggunaan vaksin yang masih di peringkat percubaan klinikal memandangkan kes Covid-19 ketika ini terus meningkat naik.
Ahmad Zahid berkata, beberapa pakar kesihatan Malaysia dan ahli akademik telah memberi pandangan mengenai fungsi vaksin Covid-19 dan membayangkan vaksin bukanlah penyelesaian mutlak kepada usaha menamatkan sepenuhnya pandemik Covid-19.
“Mereka kata vaksin itu berkesan mengelak seseorang mengalami kesan teruk jangkitan itu, namun itu tidak bermakna seseorang yang telah divaksin tidak boleh menjadi pembawa virus itu.
“Mereka kata virus Covid-19 sesuatu yang baru dan kompleks. Masih memerlukan kajian serta pengumpulan data jangka panjang untuk dibendung secara berkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, melalui penerangan pakar, vaksin Covid-19 tidak bersifat menyembuh, sebaliknya bertujuan mencegah dan mengawal penyakit daripada menjadi lebih kritikal.
Jelasnya, mereka sependapat bahawa prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan sosial dan sebagainya masih perlu diteruskan walaupun selepas program suntikan vaksin secara menyeluruh bermula.
“Ini bermaksud vaksin Covid-19 bukan bersifat magik. Bukan seperti iklan ubat yang berkesan menghilangkan sakit kepala dua kali lebih pantas.
“Ia akan mengambil tempoh masa tertentu sebelum kita dapat mengawal sepenuhnya penularan pandemik itu.
“Jika jumlah jangkitan kes tidak ditangani dari sekarang, dibimbangi Malaysia memerlukan masa lebih lama sebelum dapat menangani kadar jangkitan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, beliau berharap kerajaan bertindak lebih proaktif bermula sekarang supaya kadar jangkitan dapat dikawal dari awal sebelum lebih ramai yang ‘tewas’ sementara menunggu program vaksinasi sepenuhnya bermula.
Selain itu, katanya, perketatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan memberi bantuan yang sewajarnya kepada rakyat dan golongan peniaga supaya mereka dapat bertahan.
“Kita tidak mahu Malaysia dilabelkan sebagai salah sebuah negara yang lambat berjaya dalam menangani pandemik ini,” katanya.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan sebelum ini menyasarkan program vaksinasi Covid-19 dapat diselesaikan pada akhir tahun ini atau awal tahun depan.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, program vaksinasi itu akan melibatkan tiga fasa dengan fasa pertama dijangka bermula pada Mac ini melibatkan setengah juta vaksin untuk petugas barisan hadapan.
Fasa kedua untuk golongan rentan melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan mempunyai penyakit berjangkit dan tidak berjangkit.
Manakala, fasa ketiga akan berikan kepada semua rakyat Malaysia iaitu sebanyak 17 juta, terutamanya mereka yang bekerja.
-Malaysiapost
Artikel berkaitan :

