PENYANYI Nora Ariffin, Yusry Abdul Halim (KRU) dan penulis lirik Habsah Hassan antara 335 penerima Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang Wilayah Persekutuan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan mengurniakan kepada ketiga-tiga insan seni itu pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.
Nora menggambarkan perasaan bercampur baur dengan penerimaan tersebut berikutan tidak dapat berkongsi kegembiraan ini dengan Allahyarham suaminya, Johan Nawawi yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017.
Bagaimanapun, Nora tetap bersyukur kerana dapat meraikan kurniaan daripada Yang di-Pertuan Agong ini dengan tiga anaknya iaitu Mohd Syakir Iman, Putri Nur Dahlia dan Putri Nur Fateha.
Seorang lagi anaknya, Mohd Syakir Alif meninggal dunia pada 14 Disember 2019.
Sementara itu, Habsah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Chah pula merakamkan kesyukuran di atas penganugerahan yang diberikan kepadanya.
Ia sekali gus menjadi pembakar semangat buatnya yang sudah lebih empat dekad aktif sebagai penggiat seni untuk terus berkarya.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dalam kenyataan berkata, pengurniaan itu adalah sebagai menghargai sumbangan besar penggiat seni dan budaya terhadap lapangan mereka.
Menurutnya, bagaimanapun tarikh penyempurnaan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan bagi tahun ini sedang ditentukan mengambil kira situasi semasa penularan pandemik Covid-19. -Malaysiapost
Artikel berkaitan : https://malaysiapost.com.my/2021/02/01/335-terima-darjah-kebesaran-sempena-hari-wilayah-persekutuan-2021/

