LIVERPOOL terus mempamerkan kebangkitan dengan membenam West Ham 3-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi ini.
Bertandang ke gelanggang lawan, anak buah Jurgen Klopp dikejutkan dengan kecederaan tonggak Senegal, Sadio Mane sebelum sepak mula perlawanan.
Pengendali dari Jerman itu turut menampilkan barisan serangan Liverpool yang berbeza dengan merehatkan Roberto Firmino, sebaliknya memberi kepercayaan kepada Divork Origi bergandingan dengan Mohamed Salah.
Selepas terikat tanpa jaringan di babak pertama, Liverpool mengeluarkan James Milner dan digantikan dengan Curtis Jones untuk menambah sengat serangan.
Belum seminit berada di atas padang, Jones pantas membalas kepercayaan dengan melorongkan cantik bola yang disudahkan Salah pada minit ke-56.
Pada minit ke-67 Salah sekali lagi menemui sentuhan jaringan hasil serangan balas pantas yang memerangkap West Ham.
Georginio Wijnaldum terus menambah derita West Ham dengan gol ketiga pada minit ke-83 selepas menguis masuk hantaran pendek Firmino.
West Ham berjaya mendapat gol sagu hati menerusi Craig Dawson yang menampan bola sepakan sudut pada minit ke-87.
Tiga mata yang diperoleh Liverpool membantu mereka memintas Leicester City yang tewas 1-3 kepada Leeds United dan hanya berbeza satu mata dengan Manchester United di kedudukan kedua liga. – Malaysiapost

