Kerajaan tak kompromi kesalahan hak, kebajikan kanak-kanak – Rina Harun

0
2

KERAJAAN tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan yang melibatkan hak dan kebajikan kanak-kanak, tegas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Ia berhubung kematian kanak-kakak berusia tujuh tahun yang dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya di Taman Krobung Jaya, Melaka, kelmarin.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa untuk menyiasat segera dengan teliti serta hukuman yang tegas dan setimpal dikenakan kepada pesalah agar perkara sebegini tidak berulang lagi.

“Di samping menjadi pengajaran kepada ibu bapa yang cuai dalam penjagaan anak, termasuklah yang melakukan penderaan dan salah laku kepada kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, menurutnya, kementerian terus komited meningkatkan kesedaran melalui kerjasama pelbagai pihak dalam usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama serta memastikan tindakan tegas diambil kepada pesalah yang terlibat dengan penderaan dan salah laku.

“Kementerian juga mengkaji secara menyeluruh Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara dengan menitikberatkan agar kanak-kanak bebas daripada segala perkara negatif melalui advokasi, pencegahan
dan khidmat sokongan,” katanya.

Dalam masa sama, Rina meminta rakyat terus menanamkan rasa cintakan keluarga dan menghargai anak-anak sebagai amanah dan anugerah daripada Tuhan.

“Rakyat juga diseru untuk melaporkan terus sebarang kejadian sebegini ke Talian Kasih 15999 dan talian WhatsApp 019-26 15999 yang beroperasi 24 jam.

“Orang awam juga boleh membuat laporan di 108 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di seluruh negara atau Balai Polis berdekatan,” katanya.

Beliau juga menasihatkan kepada keluarga yang berhasrat mengambil atau telah mengambil kanak-kanak ke dalam pemeliharaan, jagaan atau kawalannya perlu membuat pemakluman kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat seperti tertakluk dalam Akta Kanak-kanak 2001.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat bersedia memberi khidmat nasihat terhadap peraturan-peraturan dan prosedur sah yang perlu dipatuhi dalam urusan pengambilan anak angkat,” katanya.

Sementara itu, Rina turut menzahirkan rasa hiba dan kesedihan yang amat mendalam di atas kematian kanak-kanak mangsa dera, Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malik kelmarin.

“Saya turut merasa keperitan dan kedukaan yang dirasai oleh ibu-ibu yang mempunyai anak sebaya dengan Allahyarham Adik Zubaidi,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :


https://malaysiapost.com.my/2021/01/30/kanak-kanak-mangsa-dera-ditemui-mati-dalam-tong-air/

https://malaysiapost.com.my/2021/01/30/kanak-kanak-maut-didera-suami-isteri-direman-seminggu/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here