Keluarkan kenyataan ‘curang’ dengan izin Allah’, influencer dikecam

0
1

SEORANG lelaki yang juga ‘influencer’ mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan bahawa seseorang itu ‘curang dengan izin Allah’.

Pemilik laman Instagram dengan nama Andika Putra berkata demikian selepas ditanya berhubung isu pelawak dan penyampai radio, Shuk Sahar yang didakwa curang terhadap isterinya baru-baru ini.

Menerusi video berdurasi 2 minit 16 saat yang muat naik di Instagramnya, ‘influencer’ itu berkata siapa kita untuk mengadili perbuatan curang itu kerana ia berlaku dengan izin Allah.

“Pergi mampus apa orang nak cakap. Dika selalu tengok macam.. apa yang Allah gerakkan.

“Dia tu curang dengan izin Allah, dia tu pun pergi rumah perempuan tu dengan izin Allah, siapakah kita nak marah dengan orang tu dengan izin Allah.

“Allah maha mengetahui segala-galanya. Dia curang sekalipun Allah yang menggerakkan hatinya untuk pergi dan mana tahu lepas tu dia baik gila-gila, dia jadi alim teruk.

“Kita dok marah dia bodoh, curang, kaki perempuan, tapi tak pernah cakap pula oh bagus kau buat salah, nanti mesti kau jadi baikkan? Takpe aku doakan kau jadi baik,” katanya.

Tambahnya, jangan mudah menilai seseorang kerana semua perbuatan jahat berlaku dengan izin Allah.

“Tapi kalau orang tu tahu tentang diri dia lemah, dia tahu diri dia, aku pun buat salah, aku macam mana sekalipun aku buat salah… dia takkan nilai orang lain.

“Percayalah kalau diri kita takut dengan Allah, kita takkan nilai sesiapa pun sebab kita tahu, dengan izin Allah lah orang tu buat jahat,” katanya.

Susulan itu, video berkenaan mengundang kecaman dan kemarahan netizen.

Antaranya, @Alan Al Padat menerusi Twitter berkata, kenyataan itu seperti penunggang agama, tidak tahu beza benar dan salah dan ia boleh menyebabkan kekeliruan kepada orang ramai terhadap Islam.

“Last week pakai serban, minggu ni terus tunggang agama ni.

“Katanya, kes Shuk Hot FM tu Allah yg izinkan dia curang, Allah yang izinkan dia pergi rumah perempuan tu, so siapa kita nak hentam Shuk? Salah Allah lah? Bebal terlebih makan steroid ka?,” katanya.

Bagaimanapun, Andika tampil memberi penjelasan ke atas video tersebut dan mengakui kesilapannya dengan memohon maaf kerana menimbulkan kekeliruan itu.

Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan di laman rasminya menjawab berkenaan isu Andika.

Menurut kenyataan itu, perbuatan menisbah kejahatan, keburukan dan maksiat yang dilakukan kepada Allah SWT ialah perbuatan yang tidak beradab terhadap-Nya.

“Ya, Allah SWT menciptakan semua perkara termasuk semua keburukan dan kejahatan, namun sebagai adab terhadap Allah SWT kita tidak boleh menisbahkan kepada-Nya kecuali perkara-perkara yang baik sahaja.

“Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah, setiap hamba Allah mempunyai pilihan sama ada melakukan perkara kebaikan atau kejahatan.

“Namun kesemuanya tidak terkeluar dari kehendak Allah SWT. Daripada pilihan inilah manusia diuji dan akan diberikan balasan berdasarkan pilihan mereka semasa di dunia,” katanya.

Menurut kenyataan itu, ucapan ‘saya melakukan maksiat ini dengan izin Allah SWT’ tidak melazimi bahawa Allah SWT redha terhadap perbuatan maksiat tersebut.

“Ini kerana kehendak (iradah) Allah SWT tidak melazimi keredhaan-Nya. Oleh itu, sesiapa yang melakukan maksiat dengan pilihan dan kehendaknya sendiri, maka dia mendapat kemurkaan Allah SWT.

“Ucapan sebegini tidak sepatutnya disebut dan malah perlu dielakkan, apatah lagi jika diniatkan untuk menghalalkan perbuatan maksiat dilakukan oleh seseorang,” katanya. -Malaysiapost.

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/01/23/isteri-dedah-shuk-curang-lagi/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here