PERHIMPUNAN Agung Umno tahun ini akan diteruskan secara maya jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat masih berkuat kuasa.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perhimpunan itu yang sebelum ini diadakan secara besar-besaran mungkin berbeza mengikut keperluan semasa berikutan pandemik Covid-19.
“Mesyuarat pengurusan dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan tetapkan bila Perhimpunan Agung Umno bakal diadakan.
“Jika PKP dan darurat masih ada, kami akan buat juga secara maya.
“Umno akan terus mara untuk rakyat Malaysia walau sebesar mana pun cabaran. Perjuangan tetap kita teruskan,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.
Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong memperkenan pelaksanaan proklamasi darurat di seluruh negara sehingga 1 Ogos depan atau satu tarikh lebih awal sebagai langkah membendung wabak Covid-19.
Susulan pengumuman tersebut, Ahmad dilaporkan berkata Perhimpunan Agung Umno 2020 yang dijadualkan berlangsung pada 30 dan 31 Januari ini, ditangguhkan dan tarikh baharu akan dimaklumkan kelak – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/01/13/umno-teliti-semula-tarikh-perhimpunan-agung/

