Pencemaran: JAS ambil sampel air sungai Hutan Simpan Jerantut Tambahan

0
3

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Pahang telah mengambil sampel air sungai di Hutan Simpan Jerantut Tambahan bagi menyiasat kemungkinan berlaku pencemaran.

Ia susulan aduan yang diterima berhubung dakwaan kemungkinan berlaku pencemaran sungai akibat daripada aktiviti melombong di kawasan hutan simpan terbabit.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sampel air sungai tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk analisa.

“Turut hadir (menyiasat) Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Perhutanan, Jabatan Tanah dan Galian serta Unify Enforcement, Pahang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Sebelum ini, penduduk lima kampung di Jerantut merayu Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mempertimbang dan mengeluarkan arahan projek pembalakan di Hutan Simpan Jerantut Tambahan (Kompartmen 1), Mukim Pedah, dihentikan serta-merta dan dikaji semula.

Pengerusi Jawatankuasa Bantahan Pembalakan, Mohd Rosmani Md Sharif, 41, berkata, pembalakan itu menyebabkan kemusnahan alam sekitar di Kampung Bharu, Sungai Badak, Lata Kasah, Binjai dan Sungai Par membabitkan kira-kira 1,500 penduduk.

Projek pembalakan itu didakwa memusnahkan eko-sistem apabila berlaku pencemaran sungai, hakisan tanah serta flora dan fauna terjejas.

Ia turut memusnahkan habitat haiwan dan unggas untuk berlindung serta menjejaskan sistem saliran yang turut membawa bencana seperti banjir di kawasan sekitar. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/01/28/artifak-ditemui-di-lipis-mungkin-kapal-wap-perlombongan-emas/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here