Nurul Huda Abhar
PENDAKWAH bebas dan usahawan, Ebit Lew yang dikenali gemar membantu golongan kurang berkemampuan kini giat menjalankan misi bantuan di sekitar Sabah.
Beliau bersama 18 lagi individu kini dalam misi bantuan selama 10 hari ke Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna mengagihkan barang-barang keperluan kepada mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menerusi perkongsian di Facebooknya, Ebit turut menyantuni golongan transgender atau ‘mak nyah’ di Lahad Datu.
“Saya sebak rasa, lewat sikit saya berjumpa dengan transgender daerah Lahad Datu. Beri sedikit nasihat doa dan sumbangan.
“Mereka banyak bekerja ‘wedding planner’ dan ‘event’. Ramai menangis tadi, mereka terkesan dengan ujian ini. Ujian ini kerana kasih sayang Allah. Terima kasih ustaz sudi bantu dan doakan kami yer,” tulisnya.
Ruangan komen Facebook Ebit dibanjiri dengan kata-kata terima kasih dan menghargai pertolongannya itu terutama kerana tidak meminggirkan golongan transgender.
Malah, rata-rata mereka mendoakan agar golongan itu mendapat petunjuk dan kembali kepada fitrah asalnya.
“Saya doakan mereka kembali kepada fitrah kejadian asal. Moga dibuka pintu hati. Amin. Terbaik ustaz, banyak golongan masyarakat ustaz dapat sampaikan. Sifat terpuji amalan Rasulullah. You don’t have to be in a position of authority to influence change and give to society,” tulis Salwah Aziz.
“Insya Allah, semoga menjadi punca untuk mereka kembali ke jalan yang Allah redhai kerana Allah Maha Mengasihi setiap hamba-hambanya,” kata Khairil Nizam Kamaruzaman.
“Mereka ingin kembali, tapi tak jumpa jalan pulang. Semoga dengan kehadiran Ustaz Ebit Lew ini dapat buka jalan,” ujar Elly. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/29/ebit-lew-serah-sumbangan-kepada-gereja/
https://malaysiapost.com.my/2021/01/26/ebit-lew-hantar-sumbangan-ke-sabah-lagi/
