Bantal busuk pengubat rindu terhadap ‘adik’

0
2

HANYA bantal busuk jadi pengganti dan melepaskan rindu, luah ibu angkat kepada kanak-kanak berumur tujuh tahun yang mati disyaki didera, kelmarin.

Menceritakan mengenainya, Norlida Abu Hassan berkata bantal tersebut dibelinya ketika anak angkatnya berusia dua bulan.

Malah bantal itu dibawanya ketika menunaikan haji pada 2019 sebagai melepaskan rindu kepada anak angkatnya yang digelar ‘adik’ itu, lapor Berita Harian.

“Ketika itu saya minta izin daripada adik untuk bawa bantal busuknya itu dan dia kata ‘umi bawalah”.

“Apabila rasa rindu ketika di Makkah, saya peluk dan cium bantal itu sebelum tidur.

“Kini, bantal itulah yang jadi peneman saya. Setiap kali rindu, saya akan dakap bantal ini,” katanya.

Bapa angkat mangsa, Md Tarmidi Yaaccob, 52, berkata keluarganya masih merayu kepada keluarga kandung mangsa untuk mengebumikan jenazah di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung, Rawang di Selangor.

Beliau memaklumkan telah berjumpa ibu kandung mangsa serta keluarganya untuk berbincang, namun masih belum mendapat keputusan.

“Kami merayu kepada mereka supaya jenazah dikebumikan di Rawang. Pada dasarnya mereka tidak bersetuju namun kami tak putus harapan untuk terus merayu.

“Walaupun ibu kandung mempunyai hak tetapi atas rasa simpati dan prihatin kepada kami yang menjaganya sejak kecil, izinkanlah kami mengebumikan jenazah di tempat kami,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut, dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya.

Kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian kira-kira jam 4 petang kelmarin, namun siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.

Semalam, pasangan suami isteri yang juga ibu kandung dan bapa tiri mangsa direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kisah kanak-kanak itu pernah tular pada Oktober tahun lalu apabila keluarga angkatnya yang menjaganya sejak bayi terpaksa menyerahkannya semula kepada ibu kandungnya.

Ia dikongsi menerusi klip video di Facebook menunjukkan ibu angkat dan keluarganya menangis ketika memeluk kanak-kanak lelaki tersebut sebelum diserahkan kepada ibu kandungnya. – Malaysiapost

Foto: Kosmo

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/01/31/kanak-kanak-maut-didera-jiran-kerap-lihat-mangsa-termenung/

https://malaysiapost.com.my/2021/01/31/ibu-kandung-mangsa-dera-pernah-dapatkan-rawatan-pakar-psikiatri/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here