Isu Thaipusam: Presiden MIC elak beri jawapan

0
2

KETUA Penerangan PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad menyifatkan Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh sengaja mengelak untuk memberi jawapan tepat mengenai pendirian partinya berhubung isu pergerakan pedati sempena sambutan Thaipusam di Pulau Pinang dan Kedah.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta menegaskan, tindakan itu seolah-olah parti kaum India terbesar berkenaan ‘dikawal’ oleh Pas di Kedah dan pusat kerana takut hilang kedudukan dalam kerajaan.


“Naib Presiden MIC, Sivarraajh langsung tidak memberi respons perkara yang dibangkitkan, mungkin sengaja elak menjawab.
“Kenapa MIC hanya minat berusaha untuk mendapatkan kebenaran di negeri-negeri diperintah oleh Pakatan Harapan (PH) sahaja, tetapi usaha dan minat yang sama untuk mendapatkan kebenaran di Perak dan Kedah tidak berlaku?


“Saya difahamkan ada permintaan kepada MIC untuk membantu mendapatkan kebenaran pergerakan pedati di Perak.” katanya seperti dilapor Astro AWANI.


Beliau berkata, ini jelas menunjukkan MIC sebenarnya yang berpolitik dalam kepentingan agama, adat dan ritual penganut Hindu di Malaysia.


Mengenai cuti peristiwa di Kedah, kata beliau, Timbalan Presiden MIC sebagai Menteri Sumber Manusia sebenarnya boleh berusaha mendapatkan pelepasan sambutan Thaipusam di peringkat kerajaan persekutuan khusus untuk penjawat awam yang beragama Hindu.


“Beliau boleh berbincang dengan syarikat swasta di Kedah untuk memberi pelepasan sambutan Thaipusam untuk pekerja beragama Hindu apabila Kedah pimpinan Pas tidak memberikan cuti seperti mana diberi sebelum ini.


“Ini menunjukan seolah-olah MIC dikawal Pas di Kedah dan pusat kerana ‘takut’ hilang kedudukan dalam kerajaan,” katanya.


Beliau turut menasihati MIC sebagai parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menjalankan amanah dengan ikhlas, saksama dan adil dalam isu masyarakat India dan penganut Hindu, bukan berlakon kononnya memperjuangkan isu dan hak masyarakat India. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here