
NAIB Presiden MIC, Datuk Sivarraajh Chandran membidas kenyataan Ketua Penerangan PKR, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berhubung isu pergerakan pedati sempena sambutan Thaipusam di Pulau Pinang dan Kedah.
Menerusi laporan media, Arafat menyifatkan Sivarraajh sengaja mengelak untuk memberi jawapan tepat mengenai pendirian parti berkenaan isu terbabit.
Arafat turut mendakwa bahawa tindakan tidak menjawab isu berkenaan seolah-olah parti kaum India terbesar itu ‘dikawal’ oleh Pas di Kedah dan pusat kerana takut hilang kedudukan dalam kerajaan.
Menurut Sivarraajh, beliau terbaca kenyataan balas Muhamad Arafat terhadap kenyataannya baru-baru ini iaitu jangan mempolitikkan isu perarakan dan cuti Thaipusam.
“Saya berasa barangkali Arafat tidak pernah membaca pelbagai kenyataan balas yang dikeluarkan oleh kepimpinan tertinggi MIC termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden berhubung isu cuti Thaipusam di Kedah terhadap Menteri Besar Kedah dan Pas.
“Pada 24 Januari 2021, Presiden MIC – Tan Sri SA Vigneswaran sendiri telah menyatakan MIC sukar untuk kerjasama dengan Pas di Kedah.
“Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan juga telah mendesak kepimpinan Pas supaya sekolahkan Mohammad Sanusi Md Nor (Menteri Besar Kedah) supaya belajar menghormati sensitiviti keagamaan melalui satu kenyataan pada 21 Januari 2021, tidak cukup dengan pelbagai kenyataan mengkritik tindakan Sanusi di Kedah secara terbuka telah pun dikeluarkan oleh kepimpinan MIC di semua peringkat,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan apa cuba yang dimaksudkan oleh Arafat berkenaan MIC takut dengan Pas?
“MIC tidak perlu dan tidak akan takut dengan siapa-siapa. Kerjasama antara MIC dan Pas biar melalui Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) tidak bermaksud MIC akan atau perlu berdiam apabila tindakan mana-mana pemimpin dalam gabungan tersebut bersifat tidak menghormati dan tidak adil terhadap masyarakat India.
“Jika sesebuah tindakan itu tidak menghormati masyarakat India, MIC akan tetap bersuara – tak kira kawan ataupun lawan.
“Saya rasa cukup pelik dengan sikap Arafat yang tiba-tiba hendak ambil peduli tentang hal ehwal MIC dan Pas sedangkan sebelum ini, apabila Pakatan Harapan (PH) memerintah tidak pernah sekali pun saya lihat beliau keluarkan sebarang kenyataan menegur kepimpinan PH biarpun pelbagai tindakan mereka menyusahkan rakyat mahupun kepimpinan parti beliau,” perlinya.
Menteri Sumber Manusia itu berkata, beliau juga tidak pernah melihat Ahli Dewan Undangan (Adun) Hulu Kinta itu menegur Tun Dr Mahathir Mohamad, biarpun bekas Perdana Menteri tidak tunaikan janji untuk menjadikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Tidak pernah pun saya lihat Arafat menegur mana-mana Menteri PH yang bertindak salah termasuk menipu soal kelayakan akademik, menipu soal manifesto, memotong pelbagai bantuan rakyat terbanyak dan sebagainya.
“Mengapa beliau berdiam ketika itu? Takut hilang kerusi? Takut pada DAP dan Bersatu?
“Pesanan saya kepada Arafat, usahlah menggunakan isu keagamaan untuk mengaut keuntungan politik PKR,” ujarnya.
Hakikatnya, katanya, sebahagian besar rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap PKR akibat penipuan berterusan kepimpinan parti itu kepada rakyat.
“Ia bermula dari isu manifesto sampai ke isu ‘I have strong, formidable and convincing majority’ baru-baru ini.
“Mungkin Arafat boleh mula meluangkan sedikit masa membaca portal-portal berita sebelum memberi komen.
“Nampak kurang arif bila mana seseorang yang bergelar YB bercakap seperti ini,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan
