Kerani sekolah redah hujan, banjir hantar bahan PdPR pelajar tiada internet

0
2

MENYEDARI kepentingan setiap pelajar memperoleh bahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), kerani sekolah di Kota Belud, Shafiq Shazwan Juhen sanggup meredah hujan dan banjir untuk menghantar bahan itu ke rumah pelajar.

Usaha dilakukan Shafiq Shazwan, 23, kerani Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan II Kota Belud itu penting kerana talian internet di tempat tinggal pelajar di Kampung Pituru yang bagaikan ‘hidup segan mati tidak mahu’, menyukarkan untuk mengikuti PdPR secara dalam talian.

Sebagai anak jati kampung itu dan bekas pelajar sekolah tersebut, beliau amat memahami apa yang dihadapi pelajar, justeru nekad menawarkan diri secara sukarela bagi membantu guru menyampaikan bahan PdPR.

“Talian internet di kampung itu memang sangat perlahan apatah lagi ketika hujan, memang sukar untuk mengikut PdPR secara dalam talian… ada juga pelajar akan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jadi saya tidak mahu pelajar tercicir,” katanya kepada Bernama.

Menceritakan pengalaman memulakan usaha itu, Shafiq Shazwan yang baru setahun menjadi kerani sekolah itu berkata, pada 7 Disember lalu selepas bekerja pada 5 petang, beliau dengan rela hati membawa bahan PdPR untuk diserah kepada lebih 20 pelajar yang tinggal di Kampung Pituru.

“Masa itu saya masih berulang alik dari kampung ke sekolah dan kebetulan guru perlu menyerahkan bahan itu kepada pelajar di Kampung Pituru dan saya dengan rela hati membawanya.

“Bagi mengelak bahan itu basah, saya balut dengan plastik sebab masa itu saya minta kawan tolong hantar ke kampung dan dalam keretanya pula tiada payung, saya tiada pilihan melainkan meredah hujan dan banjir,” katanya.

Shafiq Shazwan yang kini tinggal di perumahan guru sekolah itu berkata beliau berdepan pelbagai cabaran antaranya membawa bahan itu seberat dua kilogram sambil meredah banjir sejauh dua kilometer demi menyampaikan bahan PdPR kepada pelajar yang memerlukan.

Beliau berkata perjalanan dari kampung itu ke sekolah berkenaan sejauh kira-kira 20 kilometer dan jika berlaku banjir penduduk di kampung itu pasti terputus hubungan kerana hanya ada satu jalan utama sahaja menjadi penghubung untuk ke Pekan Kota Belud.

Sementara itu, pengetua sekolah, Jainol Sair berkata penyampaian bahan PdPR itu merupakan pendekatan secara luar talian bagi membantu pelajar yang tidak mempunyai akses kepada internet supaya dapat mengikuti pembelajaran mereka.

Beliau berkata, ia selaras budaya peduli diamalkan di sekolah berkenaan iaitu menerapkan agar setiap warga sekolah termasuk komuniti sentiasa mengambil berat peranan masing-masing untuk membantu kumpulan sasar.

Jainol berkata, pihak sekolah akan menghantar bahan PdPR ke kampung-kampung dengan bantuan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) atau pengawal sekolah kepada ibu bapa untuk diserah kepada anak masing-masing.

“Dalam keadaan pandemik ini, pihak sekolah menggunakan pendekatan budaya peduli ini untuk bersama-sama menyampaikan maklumat khususnya dalam mendidik anak-anak kerana itulah yang kita harapkan,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here