SINGAPURA menangguhkan perjanjian Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dengan Malaysia susulan peningkatan kes Covid-19 di negara ini selama tiga bulan berkuatkuasa pada 1 Februari ini.
Kementerian Luar Negeri Singapura mengumumkan penangguhan itu pagi tadi sebagai sebahagian daripada tinjauannya mengenai risiko kes import Covid-19.
RGL adalah gelembung perjalanan antara Malaysia dan Singapura yang membolehkan perjalanan antara kedua-dua negara dengan langkah-langkah kawalan yang ketat.
Selain Malaysia, Singapura juga mengumumkan penangguhan RGL dengan Jerman dan Korea Selatan.
Bagaimanapun, bagi mereka yang telah diluluskan untuk perjalanan di bawah RGL, mereka masih boleh terus melakukannya.
Semalam, Malaysia merekodkan kes tertinggi dengan mencatat 5,725 kes Covid-19 baharu.
Singapura dan Malaysia telah berjaya menangani wabak Covid-19 pada peringkat awalnya.
Bagaimanapun, penularan wabak di asrama pekerja di Singapura menyaksikan kes Covid-19 melonjak pada April tahun lalu, dengan kemuncak 1,037 kes baru setiap hari.
Malaysia pula mengalami lonjakan tiga angka pada Mac tetapi berjaya mengawal penularan virus pada pertengahan Jun 2020.
Sementara itu Bernama melaporkan lelaki rakyat Malaysia berusia 27 tahun antara 23 kes import baharu Covid-19 tidak bergejala yang dilaporkan di Singapura semalam, menurut Kementerian Kesihatan republik itu.
Menurut data penuh kementerian yang dikeluarkan lewat malam tadi, lelaki pemegang permit kerja itu tiba dari Malaysia.
Setakat tengah hari semalam, Singapura mencatatkan 24 kes baharu yang diimport dengan 23 kes tidak bergejala manakala satu kes mengalami gejala. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/21/covid-19-3-rakyat-malaysia-antara-kes-baharu-di-singapura/
