Penghantaran vaksin Covid-19 di pedalaman Sarawak berjaya

0
3

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengadakan latihan penghantaran vaksin Covid-19 di Sarawak hari ini sebagai persediaan sebelum vaksin sebenar diterima nanti. 
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata aktivi latihan itu dijalankan membabitkan penghantaran vaksin ke Klinik Kesihatan Belaga, Sarawak. 
“Ia adalah sebagai latihan bagi memastikan persiapan yang rapi dibuat sebelum bekalan sebenar vaksin dari syarikat Pfizer ini diterima di Malaysia. 
“Pelaksanaan ‘dry run’ ini adalah usahasama yang dijalankan di antara KKM, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan syarikat Pfizer (M) Sdn. Bhd,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 
Menurutnya, objektif utama aktiviti itu diadakan adalah untuk menilai keupayaan pengekalan suhu -75 darjah celcius (+/-15°C) vaksin Cominarty sepanjang rantaian penghantaran, iaitu dari pihak pengilang sehingga ke fasiliti yang dipilih. 
“Selain itu, aktiviti ini akan menilai kebolehlaksanaan proses-proses yang terlibat dalam pengendalian vaksin Covid-19 dan menguji pelaksanaan Garis Panduan Pengendalian Vaksin Covid-19 yang telah dibangunkan di lapangan agar pengedaran sebenar ke seluruh Malaysia kelak akan berjalan lancar,” katanya. 
Beliau berkata, KKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 antaranya melalui perolehan bekalan vaksin yang berkualiti, selamat dan berkesan serta memastikan pelan imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjalan dengan lancar.
“Latihan penghantaran vaksin ke pedalaman Sarawak itu berjaya dilaksanakan hari ini dan Belaga dipilih sebagai lokasi latihan ini kerana KKM mahu menilai keupayaan pelaksananaan vaksinasi di pedalaman. 
“Klinik Kesihatan Belaga berada sejauh 178 kilometer (km) atau kira-kira empat jam perjalanan dari bandar terdekat iaitu Bintulu (dan kira-kira 778 km dari bandar Kuching) melalui jalan darat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here