PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan kali ini tidak berkesan menangani penularan wabak Covid-19, malah dianggap pembaziran.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pelaksanaannya yang tidak ketat menyebabkan kes Covid-19 tidak menurun dan Malaysia sudah menjadi negara paling teruk dilanda wabak itu dalam ASEAN.
“Pasar tani buka, pasar malam buka, kilang buka, tapak pembinaan buka, kedai perabot buka, kedai emas buka, kedai pakaian dalam mewah dan fesyen buka, ‘shopping mall’ buka. Sampai 10 malam.
“Sebenarnya kita buat PKP untuk apa memandangkan kes baru Covid-19 masih semakin naik dan syarat semakin longgar?
“Jika begini, hentikan sahaja PKP supaya adil pada semua,” katanya melalui satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, sebab itu dari hari pertama PKP dilaksanakan, beliau telah menyarankan supaya ia dilaksanakan dengan ketat untuk tempoh dua minggu sahaja bagi memberi impak maksima melawan Covid-19.
“Kita buat ketat-ketat dua minggu. Kerajaan beri bantuan secukupnya bagi semua untuk menghadapi dua minggu yang tegas itu.
“Beri peluang untuk hospital dan frontliners kita pulih. Tak dibuat.
“Sebaliknya, kini kita sudah menjalani 17 hari PKP setengah masak yang akhirnya terbazir,” katanya.
Najib berkata, tekanan ke atas sistem kesihatan dan petugas barisan hadapan kini semakin berat selain rakyat disuruh kuarantin dan rawat kendiri di rumah.
“Semakin banyak kluster tempat kerja tercetus tapi semakin banyak kelonggaran untuk PKP diberi pula.
“Kerajaan seolah-olah mahu keadaan kes Covid-19 tetap tinggi dan berpanjangan.
“Maka rakyat perlu bersedia untuk menghadapi penularan yang semakin parah pada bulan-bulan mendatang,” katanya.
Menurutnya, pembukaan sekolah juga masih menjadi tanda tanya, malah jika dibuka ibu bapa mungkin khuatir untuk hantar anak ke sekolah kerana penularan Covid-19 yang masih tinggi.
Hari ini 5,725 kes baharu Covid-19 dicatatkan di Malaysia, iaitu rekod baharu tertinggi sejak wabak itu melanda negara.
Ia juga kali pertama kes harian Covid-19 di Malaysia melepasi angka 5,000 sekali gus menyaksikan kes keseluruhan di Malaysia telah melepasi 200,000 iaitu 203,933 kes. – Malaysiapost

