SEORANG pemandu lori dan dua kelindannya maut selepas lori dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan treler di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Kluang-Batu Pahat di Batu Pahat, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.25 pagi itu, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit, manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Shamin Mohamed Salikin berkata nahas melibatkan lori tiga tan membawa muatan peralatan bengkel dan treler bermuatan simen.
Mangsa yang maut ialah pemandu lori, Mohamad Azraai Mohamad Rizal, 24, serta dua kelindannya, Sadam Hussin Hamidon, 30, dan Deli Mustapha, 59.
“Bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis manakala operasi ditamatkan pada 8.43 pagi,” katanya menerusi kenyataan. – Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/29/pemandu-maut-penumpang-parah-kereta-bertembung-lori/

