Hannah Yeoh, Fahmi wakil rakyat warga asing atau Malaysia? – Ismail Sabri

0
1

DUA Ahli Parlimen pembangkang dibidas kerana memuat naik ciapan di Twitter yang menyimpang, berkenaan keperluan ujian calitan kononnya melibatkan semua penyewa di kondominium.

Ia susulan kenyataan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang mempersoal berhubung laporan keperluan ujian calitan Covid-19 terhadap penghuni kondominium, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan tiada arahan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) mewajibkan penyewa termasuk warga asing atau pelawat melakukan ujian calitan untuk memasuki apartmen, kondominium atau perumahan tertutup.

Namun katanya, kawasan perumahan, kondominium dan apartmen tertutup adalah kawasan persendirian yang mana pengurusan boleh membuat peraturan di dalam kawasan mereka.

Malah beliau berkata, mereka boleh membuat peraturan menyekat pelawat, contohnya di Sarawak, orang luar tidak dibenarkan melawat rumah panjang.

“Oleh itu bagi menjamin keselamatan penghuni mereka, jika pengurusan membuat peraturan bahawa penyewa warga asing perlu membuat saringan, maka itu hak mereka.

“Namun bagi YB Hannah Yeoh dan YB Fahmi Fadzil, mereka ini merupakan pejuang warga asing. Bagi mereka kos yang ditanggung oleh warga asing untuk saringan Covid-19 lebih berharga dari nyawa rakyat Malaysia.

“Mungkin mereka ini wakil rakyat warga asing, bukan rakyat Malaysia,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Semalam, Yeoh dilapor mendesak kerajaan supaya tidak membuat pengumuman yang akan menyusahkan orang ramai.

Katanya, Ismail Sabri tidak sepatutnya membuat keputusan yang akan mendiskriminasi pemilik atau penyewa rumah sama ada warga Malaysia atau asing.

Fahmi pula dilaporkan berkata kebenaran kepada pihak pengurusan untuk mengeluarkan arahan ujian saringan akan menimbulkan konflik antara penduduk dan pengurusan.

“Menteri kata penyewa boleh diarah JMB (badan pengurusan bersama) atau persatuan penduduk untuk jalani saringan Covid-19.

“Tetapi biasanya caj tinggi (RTK RM100 – RM140, PCR RM200 – RM300), kecuali bila ada program khas.

“Habis itu macam mana warga B40 mampu hendak balik rumah?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here