SPRM teliti cadangan penambahbaikan TI-M untuk tingkat persepsi

0
2

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti dan mengkaji semula cadangan penambahbaikan dikemukakan Transparency International Malaysia (TI-M).

Ia bagi meningkatkan persepsi yang lebih baik kepada negara, menurut SPRM menerusi kenyataan hari ini.

SPRM berkata, pihaknya mengambil maklum kedudukan dan skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 seperti diumumkan TI-M, semalam.

“Sehubungan itu, SPRM akan meneliti dan mengkaji terlebih dahulu cadangan penambahbaikan dikemukakan TI-M dalam usaha pencegahan rasuah di negara ini.

“Iaitu yang mana-mana berkaitan atau di bawah bidang kuasa Suruhanjaya ini bagi menyumbang kepada skor yang lebih baik kepada Malaysia pada masa akan datang,” katanya.

Menurut SPRM, pihaknya juga menyambut baik maklum balas positif berhubung CPI 2020 iaitu berkaitan Pelan Antirasuah Nasional (NACP), penguatkuasaan Seksyen 17A Akta SPRM serta siasatan kes-kes berprofil tinggi yang sedang berjalan.

Semalam, media melaporkan, kedudukan Malaysia dalam CPI TI-M bagi 2020 jatuh enam anak tangga ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara.

Kata Presiden TI-M, Dr Muhammad Mohan, skor Malaysia juga menurun dua mata kepada 51 daripada 100 mata berbanding tahun sebelumnya, dalam tinjauan CPI itu.

Skor dan kedudukan CPI adalah berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar yang mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam negara ini pada skala sifar (dianggap paling rasuah) sehingga 100 (dianggap paling bersih). – Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/28/malaysia-di-tangga-ke-57-indeks-persepsi-rasuah-2020/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here