BANTUAN kemanusiaan Ebit Lew kepada golongan kurang bernasib baik di Sabah, hari ini, dibantu Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines).
Malaysia Airlines dalam kenyataan menjelaskan, 18 orang sukarelawan daripada Pertubuhan Kasih Umat Malaysia di bawah naungan Ebit diterbangkan melalui dua penerbangan ke Tawau, Sabah.
“Sukarelawan ini akan mengedarkan tablet, kerusi roda, peralatan perubatan dan keperluan makanan kepada keluarga dan anggota barisan hadapan di kawasan luar bandar.

“Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Ahmad Luqman Mohd Azmi turut hadir menghantar rombongan itu dalam penerbangan Malaysia Airlines MH2660 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi,” kata kenyataan itu.
Kapten Izham berkata, cabaran yang dihadapi oleh masyarakat kerana pandemik yang berpanjangan ini mendorong Malaysia Airlines untuk memainkan peranan sebagai kurier antarabangsa dalam menyokong pelbagai misi kemanusiaan.
“Kami dengan senang hati membantu mereka dalam memastikan keseluruhan koordinasi dan perjalanan berjalan lancar dan selamat,” katanya.
Sementara itu, Ebit dalam hantaran di Facebooknya berkata, misi bantuan ke Tawau, Lahad Datu, Kunak, Semporna ini mengambil masa 10 hari.
Ebit berkata, pihaknya ada berbincang untuk misi lain-lain dengan Malaysia Airlines.
“Terharu sangat 18 orang team kami dapat harga khas. Lagi terharu CEO Mas Airlines Kapten Izham dan team tunggu dari Subuh lagi.
“Siap layan saya dan hantar sampai kerusi. Malu rasa. Terima kasih Malaysia Airlines
“Mereka benar-benar terkesan covid 19. Tapi syukur sehingga kini mereka kekalkan semua kru. Bergenang air mata CEO berbual tadi. Katanya semua ini ujian Allah. Kasih sayang Allah,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

